Read Time:1 Minute, 42 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kesakitan psikologi yang dialami Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir adalah nyata dan memberi kesan berpanjangan, kata Dr Chua Sze Hung.
Pakar Perunding Psikiatri Forensik itu berkata psikologi seorang kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat peribadi dan bergantung kepada konteks.
Menurutnya, apa yang lebih penting ialah bagaimana Zara menafsir dan memproses konflik tersebut kerana ia akan menentukan bagaimana beliau merasainya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada peguam Datuk Rizwandean M Borhan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Rizwandean: Doktor tidak mengetahui sifat atau konteks pertikaian itu, jadi catatan (diari) tersebut mungkin berpunca daripada teguran biasa berkaitan penggunaan telefon bimbit.
Dr Chua: Ia mungkin begitu, tetapi itu tidak bermaksud kesakitan itu tidak nyata berdasarkan tafsiran beliau.
Rizwandean: Ia mungkin bersifat sementara atau mengikut keadaan tertentu, bermakna Zara meluahkan kekecewaannya dalam diari dan kemudian kembali tenang selepas itu?
Dr Chua: Konflik itu mungkin bersifat sementara atau mengikut keadaan tertentu tetapi kesannya boleh berpanjangan terhadap seorang kanak-kanak.
Rizwandean: Doktor tidak tahu dengan pasti bahawa kesan itu berpanjangan?
Dr Chua: Melihat kepada reaksi kanak-kanak itu yang mengandungi luahan kemarahan yang kuat serta keinginan kematian terhadap dirinya dan orang lain, merujuk kepada siri catatan tersebut, adalah mungkin kesan itu berpanjangan.
Rizwandean: Doktor, adakah mungkin Zara meluahkan kekecewaan dan kemarahan dalam diarinya sebagai satu bentuk luahan emosi dan bukannya tanda konflik jangka panjang?
Dr Chua: Perlu ditegaskan bahawa dalam diari tersebut, ia bukan sekadar kekecewaan atau kemarahan. Ia adalah kesakitan sehingga ke tahap beliau meluahkan keinginan untuk tidak lagi hidup dan keinginan supaya ibunya juga tidak hidup.Tetapi saya bersetuju bahawa tahap konflik itu tidak diketahui. Ia mungkin konflik yang berlaku secara berkala dan bukannya konflik jenis 24/7. Namun itu tidak bermaksud kesakitan tersebut tidak nyata.Oleh itu, pada pendapat saya, konflik itu bukan faktor langsung dalam kesimpulan saya bahawa kes ini adalah kes mengakhiri nyawa sendiri. Ia hanyalah salah satu daripada banyak faktor lain.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.






