Read Time:1 Minute, 13 Second
SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima satu kes serahan membabitkan rampasan 375 liter minyak diesel bersubsidi.
Menurut KPDN Sabah, kes itu diserahkan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak kepada KPDN Semporna selepas operasi penguatkuasaan dijalankan oleh PGA di sekitar Jeti Kampung Air, Pekan Semporna pada 16 Jun lalu.
Rampasan melibatkan 375 liter minyak diesel yang disimpan di dalam 15 buah jeriken serta sebuah motokar jenis single cab yang dipercayai digunakan untuk mengangkut bahan kawalan berkenaan.
Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM806.25, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan adalah berjumlah RM20,816.25.
Susulan serahan kes itu, KPDN Semporna telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
KPDN Cawangan Semporna berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah ini dan kawasan perairan sekitarnya.
KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.






