KOTA KINABALU: Operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) terus dipergiatkan di Sabah dengan 82 lagi ditangkap dan ditahan dalam kira-kira 12 operasi penguatkuasaan di lima daerah.
Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah bermula 26 September hingga 1 Oktober lalu itu membabitkan pelbagai lokasi strategik di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata daripada 288 orang yang diperiksa, seramai 82 PATI ditangkap dan ditahan, terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“Warga Filipina yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dewasa, 14 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
“Bagi warga Indonesia, mereka terdiri daripada 11 lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala warga Pakistan membabitkan 24 lelaki dewasa,” menurut kenyataan itu.
Menurut JIM Sabah, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara serta melaporkan kegiatan PATI kepada saluran rasmi JIM Sabah,” tambah kenyataan itu.





