Read Time:1 Minute, 53 Second
KOTA KINABALU: Sektor kesihatan negara dijangka berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030, sekali gus memerlukan penstrukturan terhadap tawaran kerjaya dalam bidang profesional berkenaan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata isu kekurangan doktor perubatan di negara ini sudah berada pada tahap serius sekiranya tiada langkah signifikan diambil untuk memperkukuh sistem perkhidmatan dan mengekalkan tenaga pakar.
Menurutnya, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu bersaing dengan tawaran perkhidmatan yang lebih menarik daripada negara maju bagi memastikan doktor tempatan tidak terus berhijrah.
Beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk mengembalikan sistem lantikan tetap kepada doktor kerajaan termasuk doktor pakar, selain memperkenalkan tawaran gaji yang lebih kompetitif dan konsisten.
Katanya, sistem lantikan secara kontrak lebih sesuai dilaksanakan bagi doktor perubatan yang didatangkan dari luar negara.
“Doktor tempatan dan lepasan graduan perubatan negara ini lebih memilih untuk berhijrah ke luar negara kerana kurang berminat dengan sistem perkhidmatan secara kontrak yang ditawarkan KKM.
“Selain itu, tawaran gaji yang lebih lumayan serta kadar tukaran wang asing yang tinggi di beberapa negara maju turut menarik minat mereka untuk berhijrah,” katanya.
Masiung berkata, beliau pernah menerima maklum balas daripada doktor perubatan Malaysia yang berkhidmat di Singapura, yang berpandangan bahawa kerjaya doktor di negara ini kurang menarik berikutan tawaran perkhidmatan kontrak dengan nilai gaji yang rendah serta fleksibiliti kerja yang terhad.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia kini hampir mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi setiap 400 penduduk, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan pesat infrastruktur kesihatan termasuk pembinaan hospital baharu dilihat tidak seiring dengan keupayaan negara melahirkan tenaga pakar bagi memenuhi keperluan perkhidmatan.
Menurutnya, usaha mengekalkan jururawat berpengalaman juga semakin mencabar berikutan persaingan tawaran pekerjaan di luar negara, selain persaingan mendapatkan tenaga kerja antara hospital kerajaan dan swasta.
Masiung berkata, penganalisis BIMB Securities Research sebelum ini meramalkan Malaysia akan berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030.
Katanya, masalah utama negara bukan kekurangan graduan perubatan, sebaliknya kekurangan pakar serta cabaran mengekalkan jururawat berpengalaman yang menjadi antara tulang belakang sistem hospital kerajaan.
Beliau berharap isu berkenaan dapat diberi perhatian dan ditambah baik menjelang pembentangan Belanjawan negara pada hujung tahun ini.
Wakil Rakyat Kuamut itu juga dijangka membawa isu kekurangan pakar perubatan, khususnya di Sabah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung pada awal November ini.





