Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MUIS sumbang 13 van jenazah kepada masjid, badan dakwah dan UPPM

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 buah van jenazah disumbangkan kepada beberapa buah masjid, badan dakwah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah bagi memudahkan urusan pengurusan jenazah dan membantu masyarakat di kawasan penerima.

Sumbangan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bernilai keseluruhan RM2.21 juta itu diserahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif kepada penerima di sini pada Jumaat.

Arifin ketika ditemui berkata, setiap kenderaan yang bernilai RM170,000 dan dibiayai menerusi peruntukan bahagian zakat dan fitrah MUIS itu diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, khususnya dalam membantu masyarakat yang berdepan kesukaran menguruskan jenazah.

“Ini merupakan sumbangan daripada MUIS dan saya berharap kenderaan ini dapat dimanfaatkan, terutama bagi memudahkan urusan yang melibatkan kesusahan di kawasan masing-masing serta membantu masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, penyediaan kemudahan itu diharap dapat membantu melancarkan urusan pengangkutan jenazah, selain meringankan beban masyarakat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

Arifin (empat kiri) menyerahkan replika kunci van jenazah kepada Isnin

Katanya, MUIS turut melihat keperluan untuk memperluas kemudahan itu ke kawasan lain berdasarkan keperluan setempat supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat.

“Insya-Allah, selepas ini kita akan mengenal pasti tempat yang benar-benar memerlukan supaya kenderaan ini boleh dimanfaatkan oleh banyak kampung, bukan satu kampung sahaja,” katanya.

Beliau berkata, antara cadangan yang dipertimbangkan termasuklah menempatkan kenderaan berkenaan di masjid atau lokasi bersesuaian bagi membolehkan beberapa kariah dan kampung berhampiran berkongsi kemudahan itu.

“Selain itu, penempatan kenderaan di bawah pengurusan dakwah daerah atau lokasi yang dikenal pasti juga boleh dipertimbangkan bagi memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Arifin turut meminta pihak yang menerima kemudahan itu supaya menjaga kenderaan dengan sebaik-baiknya agar dapat digunakan secara berterusan untuk kepentingan masyarakat.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan juga merupakan antara usaha membantu pihak yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam membantu masyarakat.

Antara penerima van jenazah berkenaan ialah Masjid Al-Falah, Kampung Karamunting, Sandakan; Masjid An-Nur, Kampung Kabang, Papar; Badan Dakwah Daerah Membakut, Paitan dan Pitas; Masjid Daerah Mesapol dan Masjid Daerah Semporna.

Turut menerima sumbangan itu ialah Masjid Haji Sidik, Kampung Bolong Baru, Tuaran; Masjid Jamek Al-Ubudiah, Desa Kenchana, Lahad Datu; Masjid Jamek Kampung Telaga, Pitas; Masjid Asmaul Husna, Kampung Tinusa 2, Sandakan; Masjid Muhajirin, Kampung Inderasabah, Tawau serta Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.32 Klias. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE