KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 10 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, cuaca ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu melibatkan kawasan Pedalaman, Sandakan, Kudat dan Pantai Barat.
Di kawasan Sandakan, keadaan cuaca itu meliputi Tongod, Kinabatangan, Sandakan, Labuk dan Sugut serta Telupid.
Bagi kawasan Kudat pula, daerah yang terlibat ialah Kudat dan Kota Marudu.
METMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan hujan lebat dan angin kencang yang boleh menjejaskan aktiviti harian serta perjalanan di jalan raya.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi saluran rasmi METMalaysia.





