Read Time:1 Minute, 44 Second
KOTA KINABALU: Sebahagian daripada peruntukan tambahan yang bakal diterima Sabah menerusi peningkatan bayaran khas interim kepada RM1.5 bilion wajar disalurkan kepada sektor pendidikan bagi memperkukuhkan pembangunan modal insan dan meningkatkan kualiti pembelajaran di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah Sabah (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, sektor pendidikan perlu diberi perhatian khusus kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan Sabah dan negara.
Beliau berkata, peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu boleh dimanfaatkan untuk menambah baik infrastruktur sekolah, kemudahan pembelajaran serta memperluaskan akses pendidikan terutama di kawasan luar bandar.
“Pada masa yang sama, saya berharap sebahagian daripada peruntukan yang disalurkan kepada Sabah dapat memberi penekanan kepada sektor pendidikan.
“Ia termasuk penambahbaikan infrastruktur sekolah, kemudahan pembelajaran, akses pendidikan di kawasan luar bandar serta program pembangunan modal insan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.
Arif berkata, masih terdapat banyak sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar yang memerlukan kemudahan lebih baik bagi memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dan setanding dengan kawasan bandar.
Katanya, usaha memperkukuhkan sektor pendidikan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar, malah membantu melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan Sabah dan negara,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan modal insan perlu berjalan seiring dengan pembangunan fizikal kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing negeri.
Dalam pada itu, Arif turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai peningkatan bayaran khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang disifatkannya sebagai langkah signifikan dan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap hak serta kepentingan negeri.
Katanya, peruntukan tambahan itu perlu dimanfaatkan secara optimum bagi mempercepat pembangunan Sabah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Semoga peruntukan tambahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat serta mempercepat pembangunan Sabah ke arah yang lebih maju, makmur dan berdaya saing,” katanya.
Beliau percaya tumpuan terhadap pendidikan akan memberi impak besar kepada pembangunan jangka panjang negeri, selain membantu merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah.






