KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan agensi Persekutuan yang berkaitan bagi mempertimbangkan mekanisme penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah yang mula berkuat kuasa bulan ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mesyuarat susulan antara agensi-agensi kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi Persekutuan berkaitan berhubung perkara itu akan diadakan pada 17 Julai ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
“Peluasan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar ke Sabah yang bermula pada 1 Julai lalu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan telah diarahkan supaya memperincikan isu-isu berkenaan serta meneliti cadangan yang bersesuaian bagi menangani permasalahan yang dihadapi oleh golongan yang terkesan,” katanya.






