Read Time:1 Minute, 53 Second
KOTA KINABALU: Sabah FC mahu meneruskan momentum kemenangan pada aksi pembukaan Liga Super 2026–2027 apabila dijadualkan berdepan Penang FC di Stadium Likas, malam esok.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido membuka kempen musim baharu dengan kemenangan 3–1 ke atas Star City FC Isnin lalu, namun pengendali dari Sepanyol itu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan keputusan berkenaan.
Garrido berkata, kemenangan pertama memberikan keyakinan kepada pasukan, tetapi Penang FC dijangka menghadirkan cabaran berbeza dan memerlukan tahap fokus yang lebih tinggi.
“Kami berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya menunjukkan gaya permainan yang kami mahukan.
“Tetapi sekarang kami perlu melihat ke hadapan. Penang ialah pasukan yang berbeza dan perlawanan ini juga akan menjadi cabaran yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, Sabah perlu mengekalkan intensiti, disiplin serta keberanian sepanjang 90 minit bagi memastikan mereka mampu mengutip tiga mata di laman sendiri.
Menurutnya, Penang merupakan pasukan yang tersusun dan mempunyai keupayaan untuk memberi ancaman terutama menerusi situasi bola mati.
“Kami perlu konsisten, agresif dan terus berusaha sehingga wisel penamat,” katanya.
Dalam pada itu, Garrido mengakui tempoh pemulihan yang singkat antara dua perlawanan memerlukan pengurusan pemain yang baik.
Bagaimanapun, beliau melihat persaingan sengit dalam sesi latihan sebagai satu kelebihan kerana memberikan lebih banyak pilihan untuk melakukan perubahan terhadap kesebelasan utama berdasarkan keperluan taktikal.
“Semua pemain kami berlatih dengan baik dan bersaing untuk memulakan perlawanan.
“Selagi pemain yang masuk dari bangku simpanan mampu memberikan sumbangan, kami mempunyai ruang untuk menyesuaikan kesebelasan utama,” katanya.
Mengenai sasaran enam mata daripada dua perlawanan pertama, Garrido berkata, Sabah sememangnya mahu membina reputasi sebagai pasukan yang kuat apabila beraksi di laman sendiri.
Namun, beliau menegaskan proses membangunkan pasukan perlu diberikan keutamaan, terutama selepas tujuh pemain baharu diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Star City.
“Kami mahu menang, tetapi yang paling penting ialah cara kami bermain dan usaha untuk terus membangunkan pasukan ini,” katanya.
Garrido turut menegaskan keputusan perlawanan tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran terhadap prestasi pasukannya.
Katanya, Sabah hanya benar-benar memperoleh kelebihan selesa ketika menentang Star City selepas memasuki minit ke-89, sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Jika kami sekali lagi mampu menerapkan gaya permainan kami dengan berkesan ketika menentang Penang, itu akan menjadi satu langkah yang sangat baik untuk pasukan ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC





