Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MCMC sambut baik peruntukan RM1 bilion percepat pendigitalan kesihatan awam

Read Time:1 Minute, 15 Second

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tambahan peruntukan RM350 juta bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam.

Tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM1 bilion, termasuk peruntukan awal RM650 juta, yang akan digunakan bagi memperluas ketersambungan Internet serta pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

Menurut kenyataan media MCMC, tambahan peruntukan berkenaan akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA), selain melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan hospital awam.

Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam.

MCMC berkata kerjasama rentas kementerian menerusi pendekatan whole-of-government dijangka mempercepat usaha pendigitalan sektor kesihatan yang sebelum ini dirancang untuk dicapai pada 2045 kepada tahun hadapan.

Pendigitalan perkhidmatan kesihatan juga dijangka memudahkan urusan rawatan, selain mengurangkan masa menunggu serta kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.

Usaha berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.

MCMC turut menghargai komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang terus memberi keutamaan kepada langkah bagi meringankan beban kewangan rakyat, selain memperkukuh mutu dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan, demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses oleh rakyat.

LEAVE A RESPONSE