Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Daripada gerai tepi jalan ke restoran, Nasi Lemak Tengah Malam bukti usaha gigih usahawan muda

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Hanya dalam tempoh satu tahun tujuh bulan, sebuah perniagaan nasi lemak yang bermula di atas sebuah trak, kini berkembang menjadi sebuah restoran, sekali gus mencerminkan perjalanan penuh cabaran dan ketabahan buat pengasas ‘Nasi Lemak Tengah Malam’.

Pengasasnya, Juan,33, berkata, perniagaan itu bermula pada Mac tahun lalu dengan mengetengahkan konsep ‘street food’ yang popular di Semenanjung, iaitu pelanggan membeli makanan untuk dibawa pulang tanpa kemudahan makan di premis.

Katanya, selepas enam bulan beroperasi di tempat letak kereta di Kepayan, mereka terpaksa berpindah ke Tugu Peringatan Petagas susulan beberapa isu yang timbul dengan pihak berkaitan.

“Walaupun berpindah, kami tidak pernah menghentikan operasi. Selepas di Kepayan, keesokan harinya kami terus berniaga di Petagas. Kami tidak mahu pelanggan tertanya-tanya ke mana kami menghilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena pembukaan restoran pertama Nasi Lemak Tengah Malam di sini pada Jumaat.

Menurut Juan, pembukaan restoran pada 1 Ogos menjadi detik penting dalam perkembangan syarikat kerana ia melengkapkan tiga fasa perjalanan perniagaan mereka, iaitu bermula sebagai ‘street food’, berkembang kepada gerai tetap dan akhirnya memiliki restoran sendiri.

Beliau berkata, memiliki restoran memberikan pengalaman yang berbeza kerana kos operasi jauh lebih tinggi berbanding berniaga di gerai.

“Di gerai, kos lebih rendah kerana kami tidak perlu menanggung sewa premis dan utiliti yang besar. Apabila membuka restoran, semua itu perlu diambil kira menyebabkan harga makanan meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Restoran berkenaan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 1 pagi setiap hari, manakala gerai di Tugu Peringatan Petagas masih diteruskan dari jam 6 petang hingga 1 pagi.

Juan berkata, pihaknya juga sedang menilai sambutan pelanggan sebelum membuat keputusan sama ada premis itu akan beroperasi selama 24 jam pada masa hadapan.

Mengulas cabaran sepanjang mengusahakan perniagaan, beliau mengakui industri makanan dan minuman (F&B) menuntut kesabaran, komitmen dan pengorbanan yang tinggi.

Katanya, ketika masih berniaga secara terbuka di Petagas, cuaca sering menjadi cabaran utama apabila hujan lebat dan angin kencang menyebabkan khemah diterbangkan, selain berlaku beberapa insiden yang mengakibatkan anggota pasukan cedera.

“Berniaga di kawasan terbuka memang menguji mental dan fizikal. Ada masa kami terpaksa berdepan cuaca yang tidak menentu, namun semua itu menjadi pengalaman berharga yang mematangkan kami,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan membuka restoran bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu bagi mengukuhkan jenama Nasi Lemak Tengah Malam.

Menurutnya, fokus utama kini adalah memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik dengan mendapatkan maklum balas pelanggan secara berterusan.

Juan turut mengakui kejayaan perniagaan itu banyak dibantu oleh isterinya serta para pekerja mereka.

“Kami mahu membina jenama ini secara berperingkat. Apa yang kami capai hari ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan serta sokongan pelanggan yang sentiasa bersama kami sejak dari gerai lagi,” katanya.

LEAVE A RESPONSE