Read Time:1 Minute, 14 Second
TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan tindakan segera diambil bagi meningkatkan kualiti liputan perkhidmatan komunikasi di Kampung Tinagat dekat sini susulan aduan diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, serta penduduk setempat.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ke kampung berkenaan telah diadakan baru-baru ini bagi menilai tahap perkhidmatan selular yang disifatkan tidak memuaskan oleh pengguna.
Lawatan itu turut disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat, dengan sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi dijalankan di tiga lokasi yang dikenal pasti di kawasan tersebut.
Hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi ujian gagal memenuhi standard mandatori yang ditetapkan MCMC.
Menurut kenyataan itu, dapatan pengujian berkenaan telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan yang terlibat pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut.
Penyedia perkhidmatan terbabit diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan bagi menangani isu yang dikenal pasti.
MCMC memaklumkan notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.
Bagi memastikan penambahbaikan dilaksanakan segera, MCMC mengarahkan CelcomDigi mengambil langkah meningkatkan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.
Pada masa sama, Maxis diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.
MCMC akan terus memantau pelaksanaan langkah penambahbaikan oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan berkesan dan penduduk menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti.





