Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KPDN kemuka cadangan subsidi diesel bagi feri Kudat-Pulau Banggi

Read Time:2 Minute, 24 Second

KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya pemberian subsidi diesel diperluaskan kepada pengusaha perkhidmatan feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi susulan pengurangan kekerapan perjalanan akibat peningkatan kos operasi dan bahan api.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu dikemukakan selepas KPDN bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi dan agensi kerajaan berkaitan mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan feri berkenaan.

Menurutnya, perkhidmatan feri itu merupakan pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan bandar Kudat untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas serta memperoleh bekalan keperluan harian.

“Cadangan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan feri bagi laluan ini yang lebih tertumpu kepada keperluan perhubungan penduduk setempat dan bukannya aktiviti pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Armizan berkata, pertimbangan pemberian subsidi itu diharap dapat membantu kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula kekerapan perjalanan, sekali gus memastikan kelangsungan perkhidmatan pengangkutan yang penting kepada penduduk Pulau Banggi.

Bagaimanapun, katanya, perincian mekanisme pelaksanaan akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan KPDN bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi bahan api kepada kenderaan perdagangan melalui pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

“Inisiatif itu bertujuan memastikan subsidi disalurkan secara bersasar kepada sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan barangan keperluan pengguna serta kenderaan persendirian milik syarikat yang layak, termasuk perniagaan mikro dan kecil,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, penyaluran subsidi bahan api melalui program lain seperti BUDI Diesel, BUDI95, BUDI Agri-Komoditi serta Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan dilaksanakan oleh kementerian peneraju masing-masing, iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Sehingga 18 Oktober 2026, sebanyak 205,167 syarikat yang melibatkan 514,111 kenderaan perdagangan berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara.

“Di Sabah, sebanyak 17,703 syarikat melibatkan 38,659 kenderaan berdaftar di bawah sistem itu, merangkumi 2,231 kenderaan pengangkutan darat awam, 27,655 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna dan 8,773 kenderaan persendirian syarikat, termasuk jip dan pikap.

“Bagi SKPS pula, sebanyak 24,204 syarikat melibatkan 44,883 kenderaan berdaftar di seluruh negara. Di Sabah, sebanyak 995 syarikat melibatkan 1,408 kenderaan berdaftar, terdiri daripada 788 kenderaan pengangkutan darat awam dan 620 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna. Satu pendaftaran turut direkodkan bagi sektor pengangkutan awam air di Sabah,” jelasnya.

Selain cadangan peluasan subsidi diesel kepada pengusaha feri, Armizan berkata KPDN turut melaksanakan inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup penduduk Pulau Banggi melalui Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Pengedaran Barang Perlu.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Oktober 2026, sebanyak 35 siri PJRM dilaksanakan di Pulau Banggi, berbanding 31 siri sepanjang 2025.

“Manakala, Program Pengedaran Barang Perlu di Pulau Banggi meliputi 77 pusat jualan (point of sale) yang merangkumi tiga zon, iaitu Karakit, Damaran dan pulau-pulau sekitar Pulau Banggi,” katanya.

LEAVE A RESPONSE