Read Time:2 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan seramai 1,032 pelajar baharu yang mendaftar bagi Sesi I 2026/2027, sekali gus melepasi sasaran awal institusi tersebut.
Pengarah PKK, Md Nor Abdul Halim berkata, jumlah pendaftaran itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding sasaran awal sebanyak 805 pelajar yang ditetapkan bagi sesi berkenaan.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan masyarakat yang semakin tinggi terhadap kualiti pendidikan serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh PKK.
“Daripada unjuran awal seramai 805 pelajar, seramai 1,032 pelajar baharu telah berjaya mendaftar secara rasmi di PKK bagi Sesi I 2026/2027.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti bahawa TVET terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sebagai pilihan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perasmian Penutupan Minggu Transformasi Siswa (MTS) Sesi I 2026/2027 yang berlangsung di Dewan Rafflesia, PKK, di sini.
Daripada jumlah keseluruhan pelajar yang mendaftar, seramai 689 merupakan pelajar lelaki manakala 343 lagi adalah pelajar perempuan.
Md Nor berkata, kemasukan pelajar yang memberangsangkan itu turut mencerminkan pengiktirafan masyarakat terhadap peranan institusi TVET dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Beliau turut mengingatkan para pelajar baharu bahawa kehidupan di institusi pengajian tinggi memerlukan tahap disiplin, komitmen dan tanggungjawab yang lebih tinggi berbanding alam persekolahan.
“Anda bukan sahaja terpilih untuk melanjutkan pengajian di PKK, malah menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan institusi ini.
“Melangkah masuk ke gerbang menara gading bermakna anda perlu bersedia menghadapi cabaran hidup berdikari serta mengadaptasi budaya pembelajaran TVET yang menekankan keseimbangan antara akademik dan kemahiran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan tiga prinsip utama yang perlu dijadikan pegangan oleh setiap pelajar sepanjang tempoh pengajian, iaitu memberi keutamaan kepada kecemerlangan akademik dan kemahiran TVET, memelihara hubungan silaturahim sesama warga kampus serta menggunakan saluran komunikasi yang betul dalam menyampaikan pandangan atau aduan.
Md Nor turut menegaskan bahawa bidang TVET kini memainkan peranan penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dan tidak boleh dipandang rendah.
“Jangan sekadar belajar untuk lulus peperiksaan. Pelajar perlu terus mengasah kemahiran teknikal, komunikasi dan teknologi digital agar menjadi graduan yang benar-benar bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.
“Di PKK, akademik dan kemahiran berjalan seiring dalam membentuk graduan yang kompeten dan memenuhi kehendak industri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa, menghormati pensyarah serta menjaga nama baik institusi sepanjang tempoh pengajian.
Menyentuh aspek kebajikan pelajar, Md Nor memberi jaminan bahawa pihak pengurusan sentiasa komited memastikan kesejahteraan pelajar, khususnya yang tinggal di asrama.
Katanya, sebarang isu atau aduan boleh disalurkan melalui sistem e-Maklum Balas atau Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Beliau turut menyeru pelajar baharu agar memanfaatkan sepenuhnya ekosistem pembelajaran yang disediakan di PKK dengan melibatkan diri dalam aktiviti inovasi, keusahawanan dan persatuan bagi memperkembangkan potensi diri.
“Gunakan peluang yang ada untuk membina kecemerlangan diri dan seterusnya mengharumkan nama PKK di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.






