Read Time:1 Minute, 56 Second
KINABATANGAN : Kerjasama erat antara pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), wakil rakyat, kementerian, agensi berkaitan serta masyarakat setempat amat penting bagi memastikan isu dan cabaran komuniti luar bandar dapat ditangani secara menyeluruh.
Pengerusi SLDB, Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin, berkata penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi peserta Program Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Kampung Abai dan peneroka Rancangan Suan Lamba, Kinabatangan, memerlukan pendekatan bersama serta penyelarasan berterusan antara semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Bersama Mini Estate Sejahtera Abai dan Peneroka Rancangan Suan Lamba yang memberi ruang kepada peserta menyuarakan isu berkaitan kehidupan dan pembangunan komuniti setempat.
Menurut beliau, tidak semua perkara yang dibangkitkan berada di bawah bidang kuasa SLDB, justeru kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan amat diperlukan bagi memastikan setiap isu mendapat perhatian serta tindakan susulan yang sewajarnya.
“Kerjasama erat antara SLDB, wakil rakyat, kementerian dan agensi berkaitan serta masyarakat setempat amat penting kerana sebahagian cabaran yang dihadapi memerlukan penyelesaian secara bersama dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan SLDB bukan sekadar bertujuan mendengar permasalahan peserta, tetapi memastikan setiap isu dikenal pasti, diteliti dan mempunyai hala tuju penyelesaian yang jelas.
“Kita tidak mahu sesi dialog berakhir dengan sekadar catatan dan perbincangan. Setiap isu perlu mempunyai tindakan susulan, pihak yang bertanggungjawab dan hala tuju penyelesaian yang jelas.
“Apa yang berada dalam bidang kuasa SLDB, kita akan usahakan. Apa yang memerlukan kerjasama pihak lain, kita akan bawa dan selaraskan bersama,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Mokhtar, menyambut baik komitmen SLDB dalam menangani perkara yang dibangkitkan oleh peserta.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dalam memantau perkembangan tindakan susulan demi kepentingan masyarakat setempat.
Dalam sesi dialog tersebut, peserta berpeluang menyuarakan pelbagai perkara berkaitan keperluan komuniti termasuk perumahan, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, pengurusan tanah serta usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga.
Dalam pada itu, SLDB dalan kenyataan memaklumkan, pembangunan luar bandar tidak boleh hanya dilihat daripada aspek pembangunan fizikal atau prestasi ladang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peningkatan taraf hidup, peluang ekonomi serta kesejahteraan peserta dan keluarga mereka.
Pendekatan berkenaan mencerminkan komitmen SLDB untuk memastikan agenda pembangunan luar bandar Sabah terus berpaksikan rakyat, berorientasikan hasil serta memberi manfaat sebenar kepada komuniti.
SLDB menegaskan bahawa peranannya bukan sekadar membangunkan tanah, tetapi turut membangunkan kehidupan masyarakat luar bandar melalui peluang, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan yang berterusan.






