Read Time:2 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Sabah digesa supaya berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing dan kelangsungan pertumbuhan.
Beliau berkata, transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan, selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.
“Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri jika sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana berani melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada pelbagai sektor strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, antaranya termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.
Mengulas perkembangan sektor kesihatan yang diceburi KOPEKS, Hajiji berkata langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan ahli menikmati kemudahan rawatan pada kadar berpatutan, sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyambut baik perancangan KOPEKS menubuhkan pusat dialisis memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000 orang.
Katanya, Kerajaan Negeri sendiri telah menyumbang 100 unit mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada 2024 bagi membantu meningkatkan akses rawatan kepada rakyat.
“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan nanti menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit,” katanya
Sementara itu, Hajiji berkata, langkah KOPEKS meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, merupakan strategi tepat bagi membuka peluang perdagangan rentas sempadan, memperluaskan pasaran produk tempatan serta memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KOPEKS atas pencapaian keuntungan yang memberangsangkan bagi tahun 2025 serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara konsisten sejak 20 tahun lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan kewangan koperasi, sekali gus membolehkan manfaat terus dinikmati anggota.
Pada masa sama, beliau menyeru lebih ramai penjawat awam, khususnya generasi baharu agar menyertai KOPEKS bagi memperkukuhkan kedudukan koperasi itu sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja membangunkan ekonomi anggotanya, malah menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh.






