Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah disegerakan melalui pendekatan dua hala dengan meneruskan projek jangka panjang di samping melaksanakan sistem alternatif yang lebih cepat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat di kawasan pedalaman dan pulau mendapat akses kepada bekalan air bersih tanpa perlu menunggu terlalu lama.
“Rakyat memerlukan bekalan air bersih segera dan kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada projek jangka panjang yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan memperluas penggunaan sistem alternatif seperti paip graviti, telaga tiub dan pam air berkuasa solar.
“Pendekatan alternatif tersebut mampu disiapkan dalam tempoh singkat iaitu satu hingga enam bulan dengan jangkaan kos kurang daripada RM3 juta bagi setiap projek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Perlaksanaan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Bilik Mesyuarat KPLB, di sini.
HLC ditubuhkan sebagai menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan pelaksanaan 83 projek BALB bernilai RM4.06 bilion kepada kerajaan negeri.
Menurut Rubin, semua projek BALB di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diteruskan termasuk projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Ketika ini projek terbabit berada pada tiga peringkat iaitu telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan.
“Sebahagian projek dikenal pasti berdepan masalah antaranya isu pengambilan tanah dan kelemahan pihak perunding yang menyebabkan kelewatan,” katanya.
Di samping itu, beliau memaklumkan kerajaan Persekutuan juga memberi penurunan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek termasuk yang bernilai tinggi tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.
“Langkah ini akan mempercepat proses perolehan, pelantikan kontraktor dan pelaksanaan projek supaya manfaat dapat dinikmati rakyat dengan lebih segera,” tambahnya.






