Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

JPTD Tongod pantau projek infrastruktur RMK-13

Read Time:1 Minute, 34 Second

RANAU: Satu Jawatankuasa Pemandu Teknikal Daerah (JPTD) Tongod ditubuhkan bagi mengawal selia dan menilai pelaksanaan semua projek infrastruktur dan utiliti di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata jawatankuasa khas itu ditubuhkan susulan terdapat beberapa projek kerajaan di daerah berkenaan yang gagal disiapkan selain tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dihadiri lebih 300 warga Tongod yang menetap di Ranau, di Dewan Masyarakat Kampung Rapak, di sini, semalam.

“Saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa ini, manakala Pegawai Daerah, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Jabatan Air dan Sabah Electricity menjadi anggota tetap.

“Pasukan ini akan memantau serta menilai aspek teknikal, selain memastikan perkhidmatan dan reka bentuk kerja bagi setiap projek memenuhi standard ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, jabatan dan agensi kerajaan lain akan dijemput menganggotai jawatankuasa berkenaan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, fokus utama JPTD ketika ini ialah pembinaan semula Kompleks Sukan Tongod yang sebelum ini terbengkalai susulan kegagalan pemaju menyiapkan pusat sukan daerah itu.

“Status terkini, pembinaan semula Kompleks Sukan Tongod sudah ditawarkan kepada kontraktor baharu dan kerja-kerja dijangka disambung pada awal September ini.

“Kontraktor baharu berkenaan diberikan tempoh lapan bulan untuk menyiapkan struktur pusat sukan tersebut,” katanya.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco berkata, selain projek infrastruktur di bawah RMK-13, pembinaan kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi serta kilang pemprosesan khinzir di Kampung Entilibon turut menjadi antara tumpuan jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, JPTD turut akan memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan satu lagi projek berimpak tinggi yang dijangka mengubah landskap pembangunan di Tongod, iaitu Bandar Baharu Milenium di bawah RMK-13.

Projek Bandar Milenium seluas kira-kira 1,000 ekar itu dijangka dilaksanakan sebuah syarikat swasta bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan di daerah pedalaman berkenaan.

LEAVE A RESPONSE