Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kehadiran pelajar antarabangsa tidak jejas peluang anak tempatan – Naib Canselor UMS

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU :  Inisiatif pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Sabah tidak pernah mengetepikan kepentingan rakyat tempatan, sebaliknya berperanan menarik minat dunia ke negeri ini sekali gus membawa limpahan ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata pendekatan pengantarabangsaan yang dilaksanakan institusi pengajian tinggi di negara ini adalah seimbang dan berpaksikan kepada kepentingan nasional serta pembangunan negeri.

Menurut beliau, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi, malah membuka ruang kepada perkembangan sektor ekonomi baharu khususnya melalui ‘education tourism’ di Sabah.

“Pengantarabangsaan tidak sekali-kali mengetepikan rakyat Sabah atau Malaysia. Sebaliknya, ia menarik dunia ke negeri Sabah dengan membawa bersamanya limpahan ekonomi.

“Saya memberi jaminan bahawa UMS akan terus memastikan keseimbangan antara memenuhi amanah sebagai universiti awam kepada rakyat Malaysia dan mengangkat nama Sabah sebagai hab ilmu yang disegani di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan yang timbul berhubung dakwaan bahawa peningkatan pelajar antarabangsa di universiti awam menjejaskan peluang pelajar tempatan, khususnya anak-anak Sabah.

Kasim berkata, dakwaan bahawa peningkatan pelajar antarabangsa berlaku sehingga mengorbankan tempat pelajar tempatan adalah tidak tepat dan tidak disokong oleh data dan realiti sebenar.

“Kesimpulan sedemikian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan jumlah keseluruhan enrolmen universiti kerana angka tersebut merangkumi pelbagai kategori pengajian seperti prasiswazah, pascasiswazah, program mobiliti, pengajian dalam talian dan program jangka pendek.

“Data rasmi UMS menunjukkan enrolmen pelajar tempatan meningkat daripada 18,286 orang pada tahun 2024 kepada 20,287 orang pada tahun 2025, iaitu pertambahan 2,001 orang atau 10.94 peratus.

“Dalam tempoh yang sama, enrolmen pelajar antarabangsa turut meningkat secara sederhana daripada 712 kepada 873 orang.

“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pertambahan pelajar antarabangsa berlaku seiring dengan peningkatan kemasukan pelajar tempatan, bukannya menggantikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, UMS mempunyai tanggungjawab besar untuk membuka seluas-luasnya akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Borneo, termasuk dari kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya, komitmen itu tidak pernah berubah dan akan terus menjadi teras kepada perancangan akademik universiti.

“Dalam era globalisasi, pendidikan tinggi tidak lagi beroperasi dalam lingkungan sempadan sesebuah negara. Universiti di seluruh dunia kini bersaing untuk menarik bakat terbaik, membina jaringan penyelidikan antarabangsa dan melahirkan graduan yang mampu bersaing di peringkat global.

“UMS tidak mempunyai pilihan selain memperkukuh agenda pengantarabangsaan sekiranya ingin kekal relevan agar terus menjadi destinasi pendidikan yang diyakini komuniti antarabangsa.

“Hakikatnya, cabaran utama pengambilan pelajar di universiti awam bukan disebabkan kehadiran pelajar antarabangsa.

“SSebaliknya, terdapat program tertentu khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang masih belum dapat memenuhi sasaran pengambilan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE