Read Time:1 Minute, 39 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang jurulatih seni mempertahankan diri dijatuhi hukuman penjara keseluruhan sembilan tahun dan tiga sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar wanitanya.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Yuslaine Awang Yusof, 40, ketika prosiding keputusan kes di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Pada 10 Julai lalu, Yuslaine menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Tertuduh melakukan kesalahan itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah asrama di Putatan pada malam 26 Ogos 2023.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tambahan penjara dua tahun dan dua sebatan mengikut Seksyen 16 akta yang sama.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.
Selain itu, tertuduh diperintahkan membayar pampasan sebanyak RM8,000 kepada mangsa melalui ibu atau penjaganya. Sekiranya gagal membayar pampasan berkenaan, dia akan menjalani tambahan hukuman penjara selama enam bulan.
Selaras dengan Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani program kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh juga diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27 akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya Johari @ Pg Johari hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Yuslaine diwakili peguam Michelle Usman.
Untuk rekod, pada 29 Jun lalu, Yuslaine yang merupakan jurulatih silat turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang lagi pelajarnya pada tahun yang sama. Mangsa ketika itu berusia 18 tahun.
Bagi kesalahan itu, dia disabitkan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
LINK BERITA TERDAHULU:






