Read Time:1 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Pasukan EDU SABAH dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah muncul juara Kejohanan Badminton Piala Mayor Kali Ke-5 Tahun 2026 selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Damai dan Dewan Serbaguna Luyang, di sini.
Kejohanan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Kota Kinabalu Ke-26 itu berlangsung dari 21 hingga 23 Mei lalu dengan penyertaan sembilan pasukan daripada pelbagai agensi kerajaan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pula muncul naib juara, manakala DBKK Shuttlers dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah B berkongsi kedudukan ketiga bersama.
Sebagai juara, EDU SABAH membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima RM6,000 dan pemenang tempat ketiga bersama masing-masing memperoleh RM3,000.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, kejohanan itu dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun bandaraya selain menggalakkan budaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan penjawat awam.
Menurut kenyataan itu, kejohanan kali ini tampil berbeza apabila menggunakan format berpasukan membabitkan penyertaan agensi kerajaan, berbanding format individu yang digunakan dalam empat penganjuran terdahulu.
“Penganjuran ini bukan sahaja menjadi platform pertandingan sihat, malah medium mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama antara penjawat awam,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Bergu Lelaki Terbuka, Bergu Wanita Terbuka, Bergu Pegawai Lelaki Terbuka, Perseorangan Lelaki Terbuka, Bergu Lelaki Veteran, Bergu Wanita Veteran dan Bergu Campuran.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu.
Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha (Sukan) mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Joseph Ivor Bachee; Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Badminton Sabah, Sumitah Hassan serta Pengurus Hurricane Sports Enterprise, Liew Yen Cheng.






