Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Jika benar berlaku buli, tindakan tegas akan diambil — Raisin

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan wujud unsur buli dalam insiden tular membabitkan seorang murid di sebuah asrama sekolah di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata murid yang didapati membuli akan tertakluk kepada peraturan sedia ada.

“Kalau benar murid itu membuli, kita tidak boleh bertolak ansur dan akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada,” katanya ketika mengulas mengenai video tular yang memaparkan seorang murid perempuan didakwa menjadi mangsa buli.

Beliau berkata pihak sekolah telah mengambil tindakan dan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, namun siasatan lanjut diserahkan kepada polis memandangkan laporan telah dibuat.

“Untuk makluman, pihak sekolah telah pun mengambil tindakan dan membuat siasatan. Oleh kerana pihak polis terlibat dalam kes ini, maka kami serahkan kepada pihak polis untuk menyiapkan siasatan mereka.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Tambahnya lagi, siasatan menyeluruh akan dibuat bagi menentukan perbuatan murid itu adalah perbuatan yang berterusan ataupun hanya berlaku secara spontan pada masa itu.

“Dalam masa yang sama, kami akan memberikan sokongan emosi kepada murid yang didakwa menjadi mangsa,” katanya.

Raisin turut melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian tersebut yang membabitkan murid sekolah rendah yang tinggal di asrama.

“Murid-murid ini sepatutnya saling hormat-menghormati…. Kita kesal kerana perkara ini berlaku di premis asrama.

“Apa pun, kita akan terus mempertingkatkan langkah berjaga-jaga supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Raisin turut menyeru murid supaya mengawal emosi dan mengelakkan sebarang tindakan fizikal terhadap rakan-rakan.

Beliau turut meminta ibu bapa, khususnya keluarga murid yang terlibat, supaya bersabar sementara siasatan polis dan pihak sekolah diselesaikan.

Terdahulu tular satu video berdurasi kira-kira satu minit 30 saat itu menunjukkan murid berkenaan dalam keadaan menangis dan rambutnya ditarik. Video berkenaan turut memaparkan kaki mangsa ditendang-tendang dan kepalanya dipukul sebelum dia diarahkan mencuci muka selepas menangis.

LEAVE A RESPONSE