Read Time:2 Minute, 3 Second
KENINGAU : Seramai 13 murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Keningau menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Tunas Insan Istimewa anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertujuan membantu mengenal pasti tahap kesediaan mereka mengikuti pendidikan inklusif.
Program yang dilaksanakan oleh Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), UMS itu memberi fokus kepada saringan serta intervensi awal bagi mengenal pasti potensi, perkembangan dan keperluan pembelajaran murid berkeperluan khas.

Pensyarah Kanan Program PAKK, Dr. Juppri Bacotang berkata, pelaksanaan intervensi awal amat penting bagi memastikan murid berkeperluan khas mendapat sokongan pendidikan yang bersesuaian mengikut tahap perkembangan dan keupayaan masing-masing.
Menurut beliau, program berkenaan turut membantu pihak sekolah memperoleh gambaran lebih jelas mengenai tahap kesediaan murid sebelum mengikuti Program Pendidikan Inklusif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Melalui aktiviti yang dirancang, murid berpeluang meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi dan pembelajaran dalam persekitaran yang lebih positif, kondusif serta menyeronokkan.
“Pada masa sama, guru dapat menggunakan hasil saringan dan penilaian sebagai panduan untuk merangka pendekatan pengajaran yang lebih berkesan mengikut keperluan individu murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Tunas Insan Istimewa yang berlangsung selama dua hari pada 10 hingga 11 Jun lalu di SK Pasir Putih, Keningau.
Dr. Juppri berkata, inisiatif tersebut turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 yang menekankan penyediaan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua lapisan masyarakat.
“Program ini mencerminkan komitmen UMS dalam memperkukuh hubungan universiti bersama komuniti menerusi perkongsian kepakaran akademik serta pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Melalui pendekatan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), mahasiswa dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari di universiti dalam situasi sebenar, sekali gus membentuk kompetensi profesional sebagai bakal pendidik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Syahirah Nur Ain Rasmet berkata, penglibatan aktif murid sepanjang program berlangsung menunjukkan keperluan terhadap pelaksanaan intervensi awal secara berterusan bagi menyokong pendidikan inklusif di sekolah.
Katanya, pengalaman mahasiswa berinteraksi secara langsung bersama murid dan warga sekolah memberikan pendedahan bermakna terhadap cabaran sebenar dalam bidang pendidikan khas.
“Program ini membuktikan peranan UMS dalam memperluaskan akses kepada pendidikan inklusif serta membantu memastikan murid berkeperluan khas mendapat peluang pembelajaran yang lebih adil dan menyeluruh.
“Kejayaan pelaksanaan program ini turut disokong oleh UMS Flexible Education Centre (UMSFLEC), Kumpulan Yayasan Sabah dan Gunung Asli Enterprise yang memberikan kerjasama penting sepanjang program berlangsung,” katanya.
Program Tunas Insan Istimewa diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh sokongan pendidikan awal serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan inklusif bagi murid berkeperluan khas.






