Read Time:2 Minute, 41 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Terdapat catatan tulisan tangan daripada lebih seorang individu dalam jurnal dan helaian kertas yang dikaitkan dengan Zara Qairina Mahathir, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Saksi ke-79, Pemeriksa Dokumen Forensik Tay Eue Kam, berkata pemeriksaannya membabitkan perbandingan tulisan tangan dalam catatan jurnal, buku sekolah dan helaian kertas berasingan bagi menentukan sama ada Zara adalah penulis bagi setiap catatan.
Dokumen yang diperiksa termasuk jurnal berkulit hijau bertanda ‘NOTES’ (W1), jurnal berwarna ungu pastel bertanda ‘Simple Style Book’ (W2), jurnal berwarna coklat gelap bertanda ‘DIAMOND’ (W3), 15 helaian kertas berasingan bertanda Y1 hingga Y15 serta jurnal berwarna hijau zaitun bertanda ‘Love and Peace’ (WK9).
Tay membandingkan tulisan tangan dalam dokumen berkenaan dengan spesimen tulisan tangan yang diketahui ditulis oleh Zara, selain spesimen tulisan tangan pelajar lain dari sekolahnya.
Bagi W1 dan W2, Tay berkata lebih seorang individu menyumbang kepada catatan tulisan tangan dalam kedua-dua jurnal berkenaan.
“Lebih daripada seorang telah menyumbang kepada entri tulisan tangan dalam W1 dan W2, tetapi terdapat “strong support” (sokongan kukuh) bahawa sebahagian besar catatan dalam kedua-dua jurnal itu ditulis oleh individu yang sama,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi juga menjelaskan terdapat “strong support” bahawa sebahagian besar tulisan tangan dalam W1 dan W2 ditulis oleh Zara, namun terdapat beberapa catatan, termasuk indented writing dalam W2, yang bukan ditulis olehnya.
Bagi W3 pula, Tay berkata lebih dua individu menyumbang kepada tulisan tangan dalam jurnal berkenaan.
Saksi berkata terdapat ‘strong support’ bahawa catatan tulisan tangan pada beberapa halaman jurnal berkenaan bukan tulisan Zara.
Beliau mengumpulkan halaman mengikut penulis, termasuk yang dikenal pasti sebagai ‘Declared Writer 1’ dan ‘Declared Writer 2’, selain lima penulis yang tidak dikenal pasti dan dirujuk sebagai ‘Undeclared Writer 1’ hingga ‘Undeclared Writer 5’.
Tay turut mendapati lebih dua individu menyumbang kepada tulisan tangan dalam WK9.
Beliau tidak dapat membuat kesimpulan mengenai penulis catatan pada halaman 4 hingga 7, 11 dan 50 yang mengandungi contengan serta beberapa catatan bertindih.
Bagaimanapun, terdapat “strong support” bahawa Zara menulis catatan pada beberapa halaman serta pada helaian koyak daripada sumber yang tidak diketahui.
Bagi 15 helaian kertas berasingan bertanda Y1 hingga Y15, Tay berkata lebih dua individu menyumbang kepada tulisan tangan pada helaian berkenaan.
Tay turut menjelaskan beberapa batasan dalam pemeriksaan tulisan tangan itu, termasuk jurang pada spesimen tulisan tangan daripada buku kerja sekolah Zara antara penghujung 2024 dan awal 2025.
Beliau turut berkata Zara dan pelajar lain berusia bawah 16 tahun pada ketika itu dan tulisan tangan mereka mungkin belum berkembang sepenuhnya serta masih mempunyai ciri-ciri “copybook”, iaitu bentuk huruf standard yang diajar di sekolah.
Menurutnya, pelajar yang diajar gaya tulisan yang sama mungkin menunjukkan ciri tulisan tangan yang serupa, sekali gus menyukarkan usaha membezakan antara penulis berbanding tulisan tangan orang dewasa yang sudah berkembang sepenuhnya.
Tay berkata penemuannya hanya berdasarkan dokumen yang diberikan kepadanya dan beliau berhak menilai semula pendapatnya sekiranya dikemukakan bukti baharu atau bukti yang sebelum ini tidak tersedia.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Inkues bagi menentukan punca dan keadaan sekitar kematian Zara bermula pada 3 September 2025.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina hari ini memasuki hari ke-85.






