Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ibu maut dipercayai ditikam anak kandung

Read Time:1 Minute, 15 Second

TAMBUNAN: Seorang wanita berusia 56 tahun maut selepas dipercayai ditikam anak kandungnya menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 petang, pada Jumaat (11 Sep).

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di perut yang dipercayai akibat ditikam menggunakan senjata tajam.

“Susulan kejadian itu, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga anak kandung mangsa.

“Suspek kemudian berjaya dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan, sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebaik tiba di perkarangan Balai Polis Tambunan, tangkapan rasmi terhadap suspek dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Beliau berkata, pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan tekanan yang dialami suspek, yang baru sahaja melalui proses perceraian.

Bagaimanapun, Erwansyah berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan bagi mendapatkan gambaran penuh mengenai kronologi kejadian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes berkenaan.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai,” katanya.

LEAVE A RESPONSE