Read Time:1 Minute, 57 Second
KOTA KINABALU: Selepas membuka kempen Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 dengan kemenangan bergaya 13-0 ke atas Rovers FC dari Guam, Sabah FA kini mengalihkan fokus kepada dua ujian lebih getir menentang Rajshahi Stars FC dan East Bengal FC.
Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales, berkata kemenangan besar ke atas Rovers FC tidak boleh membuatkan pemainnya leka kerana dua perlawanan berikutnya dijangka menuntut pendekatan berbeza.
Beliau berkata, barisan kejurulatihan akan meneliti rakaman aksi kedua-dua pasukan berkenaan bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan mereka sebelum merangka strategi terbaik.
“Kita akan meneliti rakaman permainan pasukan mereka dan merancang strategi pasukan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Apa yang penting kita perlu tahu kekuatan dan kelemahan mereka kerana setiap pasukan ada kelemahan dan kekuatan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Rovers FC di Stadium Likas, malam tadi.
Sabah FA kini berada di tangga teratas Kumpulan A dengan mengumpul tiga mata, hasil kemenangan besar 13-0 itu yang turut memberikan kelebihan dari segi perbezaan jaringan.
East Bengal FC turut mengutip tiga mata selepas aksi pertama, namun hanya mempunyai kelebihan empat jaringan.
Sabah FA akan turun menentang Rajshahi Stars FC dari Bangladesh pada Khamis ini sebelum berdepan East Bengal FC pada Ahad.
Bobby berkata, anak buahnya sebelum ini berjaya melaksanakan perancangan yang disusun sehingga mampu mengawal permainan dan menghasilkan kemenangan besar.
Katanya, keinginan tinggi pemain untuk menang turut menjadi antara faktor penting kejayaan pasukan dalam aksi pembukaan berkenaan.
“Saya amat berpuas hati dengan semua pemain kerana mereka ada keinginan untuk menang.
“Mereka bukan saja berjaya memenangi bola daripada pihak lawan, malah menang besar dalam perlawanan ini,” katanya.
Kemenangan 13-0 itu menyaksikan Sabah FA menjaringkan lima gol pada babak pertama sebelum menambah lapan lagi pada separuh masa kedua.
Dalam pada itu, pemain tengah Sabah FA, Mai Lisa Atis muncul antara watak utama kemenangan berkenaan apabila meledak lima gol selain dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Mai Lisa menjaringkan gol pada minit ke-24, 33, 65, 80 serta pada masa tambahan babak pertama.
Namun, pemain itu menegaskan kejayaannya lebih bermakna apabila seluruh pasukan turut menyumbang kepada kemenangan besar berkenaan.
“Saya bukan sekadar gembira menjaringkan gol, malah saya gembira rakan sepasukan juga dapat menjaringkan gol dan membawa kemenangan ini bersama-sama,” katanya.
Sabah FA kini mempunyai dua lagi perlawanan dalam peringkat awal Kumpulan A untuk menentukan kedudukan akhir mereka dalam saingan tersebut. – SABAH MEDIA






