Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hajiji tegas seimbang ekonomi dan alam sekitar

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri akan terus menjadi penjaga alam sekitar yang bertanggungjawab, sambil memastikan masa depan ekonomi rakyat terus dipertahankan.

Menurut beliau, Sabah perlu mencapai keseimbangan antara agenda kemampanan dan pembangunan ekonomi demi kepentingan jangka panjang negeri.

“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Shangri-La Tanjung Aru Resort, pada Isnin.

Hajiji berkata Sabah menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar, namun mengakui negeri itu masih berada dalam fasa pembangunan.

Katanya, Sabah kini giat memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keselamatan tenaga bagi menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata isu tenaga bukan sekadar melibatkan alam sekitar, tetapi turut berkait rapat dengan ekonomi dan keselamatan masa depan Sabah, justeru campuran tenaga yang seimbang dan praktikal amat diperlukan.

“Tenaga boleh diperbaharui jelas merupakan sebahagian daripada masa depan kita. Tenaga solar, hidro, biojisim, biogas dan teknologi bersih lain mesti terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang Sabah,” katanya.

Menurut beliau, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 turut menekankan pembangunan sistem tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan Sabah wajar menerima nilai ekonomi yang adil memandangkan negeri itu memainkan peranan besar dalam pemuliharaan alam sekitar negara.

Katanya, pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi turut melibatkan kos ekonomi yang besar termasuk kehilangan peluang hasil apabila kawasan hutan dan tanah dipelihara.

“Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang diwujudkan bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia dan dunia.

“Oleh itu, perbincangan mengenai kemampanan juga mesti menjadi perbincangan mengenai keadilan dari segi nilai, pengiktirafan, pelaburan dan penyertaan,” katanya.

Beliau berkata Sabah tidak boleh terus dilihat sekadar penyumbang modal semula jadi, sebaliknya negeri itu juga perlu menerima manfaat sewajarnya daripada kekayaan alam yang dimiliki.

Hajiji turut menegaskan Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam sekitar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kita boleh melakukan kedua-duanya, tetapi kita mesti melaksanakannya dengan cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE