Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS, ZUST jalin kerjasama strategik perkasa akademik dan penyelidikan global

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Letter of Intent (LoI) bersama Zhejiang University of Science and Technology (ZUST), China, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di UMS, baru-baru ini.

LoI tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi, mewakili UMS, manakala pihak ZUST diwakili oleh Profesor Dr. Shan Shengdao.

Kerjasama strategik ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha UMS memperluaskan hubungan akademik global, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi terkemuka dari Republik Rakyat China.

Dalam ucapan alu-aluannya, Rossita berkata UMS amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi ZUST yang diketuai oleh Shan, sambil menyifatkan hubungan yang terjalin sebagai langkah awal kepada kerjasama akademik yang lebih besar dan bermakna pada masa hadapan.

Menurut beliau, kerjasama tersebut diyakini mampu membuka ruang kepada pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan saintifik, mobiliti staf akademik, serta pertukaran pelajar di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

“UMS, khususnya menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST), amat komited untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan hubungan ini ke arah pencapaian yang memberi impak kepada perkembangan ilmu, pembangunan program akademik serta jaringan antarabangsa,” katanya.

Rossita turut merakamkan penghargaan kepada Dekan FST UMS, Profesor Ts. Dr. Rodeano Roslee, atas penganjuran majlis LoI berkenaan selain menghargai komitmen Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, pensyarah serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Melalui LoI yang dimeterai, kedua-dua universiti menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pertukaran staf akademik dan pentadbiran, latihan bersama pelajar sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, pelaksanaan projek penyelidikan bersama, pertukaran bahan akademik serta penerbitan saintifik, selain kerjasama dalam program akademik lain yang dipersetujui bersama.

ZUST merupakan sebuah universiti awam bukan berasaskan keuntungan yang dibiayai oleh Kerajaan Wilayah Zhejiang, dengan kekuatan dalam bidang kejuruteraan, sains gunaan, teknologi, inovasi serta kerjasama antarabangsa melalui jaringan global melibatkan pelbagai institusi pendidikan di seluruh dunia.

Universiti itu turut dikenali dengan pendekatan pendidikan berorientasikan aplikasi industri serta pembangunan teknologi mampan.

Dalam lawatan tersebut, delegasi ZUST turut dibawa melawat beberapa fasiliti akademik dan makmal penyelidikan di FST seperti Water Research Unit (WRU) dan Seaweed and Natural Product (SNaP) Research Unit sebagai platform memperkenalkan kekuatan penyelidikan UMS yang berpaksikan keunikan Sabah sebagai negeri kaya dengan sumber alam semula jadi, biodiversiti tropika dan ekosistem marin.

Majlis menandatangani LoI tersebut sekali gus mencerminkan komitmen UMS dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti sejajar aspirasi untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

LEAVE A RESPONSE