Read Time:1 Minute, 11 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Dua majikan masing-masing didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berasingan menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digaji atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Seorang daripada majikan berkenaan didenda RM10,000 kerana menggaji seorang pekerja asing tanpa dokumen perjalanan sah, manakala seorang lagi dikenakan denda keseluruhan RM30,000 kerana menggaji tiga pekerja asing tanpa dokumen.
Kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang digaji, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing didenda RM5,000 bagi setiap imigran atau penjara tiga bulan bagi setiap imigran jika gagal membayar denda, kerana membenarkan pendatang tanpa izin berada di premis di bawah kawalan mereka.
Lelaki berkenaan dikenakan denda keseluruhan RM10,000, manakala wanita itu didenda RM5,000.
Kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan dilakukan di sekitar kawasan bandar raya dan Keningau ketika pihak berkuasa menjalankan operasi berasingan.
Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan bagi semua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Mohd Sharifuddin Salim.






