Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Francis Yeoh Kenang Tun Dr Siti Hasmah, Sifat Lembut dan Kenangan Bersama

Read Time:1 Minute, 24 Second

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL Corporation Berhad, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh menzahirkan rasa dukacita mendalam atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang disifatkannya sebagai seorang wanita penuh kelembutan, kebaikan dan memiliki kekuatan tersendiri.

Francis berkata, beliau dan keluarganya amat berdukacita menerima berita pemergian Allahyarhamah dan percaya kehilangan itu turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Beliau sentiasa lemah lembut dan baik hati. Beliau sering bertanyakan khabar ibu saya yang dikasihi dan keluarga kami akan sentiasa mengingati keikhlasan serta keprihatinannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Francis turut mengenang sisi lain Allahyarhamah yang cukup dekat dengan muzik, selain menyifatkannya sebagai seorang pemuzik berbakat.

Menurutnya, antara kenangan yang amat dihargai ialah ketika beliau dan keluarganya diundang ke kediaman Tun Dr Siti Hasmah untuk makan malam sebelum mereka meluangkan masa menyanyi bersama.

Malah, satu kenangan yang kekal dekat di hatinya ialah ketika menyanyikan lagu It’s a Sin to Tell a Lie bersama Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, lagu berkenaan merupakan antara lagu kegemaran Tun Dr Mahathir.

“Kenangan yang paling saya hargai ialah menyanyikan It’s a Sin to Tell a Lie bersama beliau dan Tun Dr Mahathir yang kami kasihi, kerana ia merupakan antara lagu kegemaran Tun Dr Mahathir,” katanya.

Francis berkata, kekuatan yang ditampilkan secara tenang serta keperibadian penuh santun Tun Dr Siti Hasmah akan terus terpahat dalam ingatan mereka.

“Kekuatan beliau yang tenang dan kehadirannya yang penuh santun akan kekal dalam hati kami. Kami akan amat merinduinya,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi saat kehilangan itu.

“Semoga Tuhan memberikan ketenangan kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga dalam menghadapi waktu yang penuh kesedihan ini,” katanya.

LEAVE A RESPONSE