Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Eksesais Keris Strike Siri 31/2026 perkukuh kerjasama ketenteraan Malaysia, AS dan Australia

Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Tentera Darat Malaysia (TDM) akan melaksanakan Eksesais KERIS STRIKE Siri 31/2026 dengan kerjasama Tentera Darat Amerika Syarikat (United States Army) dan Tentera Darat Australia (Australian Army) bermula semalam hingga 27 Julai di sekitar Kota Belud.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Darat, latihan bersama tahunan itu bertujuan meningkatkan tahap kebolehoperasian dan keupayaan operasi bersama antara angkatan tentera ketiga-tiga negara.

Katanya, eksesais berkenaan turut menjadi platform strategik untuk memperkukuh hubungan diplomasi ketenteraan dengan negara-negara sahabat, sekali gus meningkatkan tahap kesiagaan Tentera Darat Malaysia dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan serantau yang semakin dinamik.

“Latihan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama pertahanan antarabangsa, di samping meningkatkan keupayaan anggota dalam melaksanakan operasi secara bersama,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang pelaksanaan eksesais, konvoi aset dan anggota tentera akan menggunakan laluan Kota Kinabalu–Tuaran–Kota Belud.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan serta tidak cemas atau panik sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan konvoi aset ketenteraan atau aktiviti taktikal yang dijalankan, khususnya di kawasan Kota Belud.

TDM turut memohon kerjasama masyarakat setempat agar memberi ruang dan sokongan sepanjang latihan berlangsung serta tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang awam.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Eksesais KERIS STRIKE Siri 31/2026 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau melalui latihan bersama yang mampu meningkatkan profesionalisme, kesiapsiagaan dan keupayaan operasi angkatan tentera.

Latihan itu dijadual berlangsung selama 18 hari dan melibatkan pelbagai siri latihan taktikal di kawasan yang telah dikenal pasti di sekitar daerah Kota Belud.

LEAVE A RESPONSE