Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ekonomi Sabah catat prestasi terbaik dalam tempoh enam tahun

Read Time:3 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus tahun lalu, iaitu prestasi terbaik dalam tempoh enam tahun, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM88.8 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertumbuhan itu disokong oleh sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 4.5 peratus, pembuatan (lima peratus) dan pembinaan (28.3 peratus). 

“Sabah mempunyai momentum pertumbuhan yang kukuh. Tugas kita sekarang adalah untuk menterjemahkan momentum ini kepada perniagaan tempatan yang lebih berdaya saing, industri bernilai tinggi, peluang pekerjaan yang lebih baik serta lebih banyak peluang kepada masyarakat di seluruh negeri,” katanya. 

Hajiji berkata, perkara itu juga menjadi fokus Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi penekanan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan penciptaan nilai yang lebih tinggi. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program Kembara Borneo 2026 Edisi Sabah anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Magellan Sutera Harbour Resort di sini hari ini. 

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun. 

Hajiji berkata, siling peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah Sabah berjumlah RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), merangkumi 933 projek baharu dan 240 projek sambungan, akan terus memperkukuh daya saing serta daya tarikan Sabah kepada pelabur. 

Hajiji berkata, jika SMJ 1.0 memberi tumpuan kepada pemulihan, penstabilan dan penstrukturan semula ekonomi selepas pandemik, SMJ 2.0 pula akan memperkukuh asas tersebut bagi memastikan pembangunan membawa manfaat nyata kepada rakyat melalui peluang yang lebih baik, peningkatan taraf hidup dan penambahbaikan perkhidmatan awam. 

“Aspirasi kita bukan sekadar menarik perniagaan untuk melabur di Sabah. Kita juga mahu membantu syarikat-syarikat yang berpangkalan di Sabah berkembang menjadi peneraju di peringkat nasional, serantau dan global.   

“Ini bermakna kita perlu memupuk kreativiti, daya tahan dan semangat keusahawanan, khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya. 

Hajiji menegaskan bahawa Sabah mempunyai potensi ekonomi yang besar dalam sektor pertanian, Ekonomi Biru dan industri hiliran, disokong oleh kekayaan sumber asli, biodiversiti serta kedudukannya yang strategik. 

Ekonomi Biru juga menawarkan peluang yang besar dalam sektor perikanan moden, bioteknologi marin dan pelancongan berasaskan alam semula jadi, katanya sambil menambah di bawah SMJ 2.0, sektor itu berpotensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM3.25 bilion setahun. 

Beliau berkata, sektor pertanian perlu beralih daripada pengeluaran utama kepada amalan pertanian moden dan berkualiti tinggi, disokong oleh penggunaan teknologi pertanian secara lebih meluas bagi meningkatkan produktiviti serta memperkukuh keterjaminan makanan. 

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan bahawa peningkatan pengeluaran semata-mata tidak mencukupi kerana Sabah juga perlu mencipta dan mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi dalam negeri melalui pemindahan teknologi, inovasi, pembangunan kemahiran serta penyertaan lebih besar perniagaan tempatan dalam industri hiliran. 

Beliau berkata, kedudukan strategik Sabah di tengah-tengah Borneo, berhampiran Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina, turut menjadikan negeri ini sebagai pintu masuk semula jadi bagi perdagangan, pelaburan dan pelancongan di seluruh kawasan BIMP-EAGA serta rantau ASEAN yang lebih luas. 

Bagi merealisasikan peluang tersebut, Hajiji berkata, perniagaan di Sabah perlu mempunyai akses lebih luas kepada modal, kepakaran dan rangkaian pelaburan bagi membolehkan mereka berkembang ke pasaran nasional, serantau dan global. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha SC memperluas pilihan pembiayaan kepada perniagaan di Sabah melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P), pelaburan bersama, modal swasta dan pasaran saham. 

“Kita amat mengalu-alukan inisiatif yang menghubungkan perniagaan tani dengan platform pembiayaan, modal teroka dan pelabur ekuiti swasta. 

“Kita juga menghargai Skim Keterjaminan Makanan di bawah Dana Pelaburan Bersama Malaysia atau MyCIF. Melalui pelaburan bersama sebanyak RM1 bagi setiap RM2 yang diperoleh daripada pelabur swasta, skim ini menyokong perniagaan dalam sektor pertanian, teknologi pertanian dan bioekonomi,” katanya. 

Beliau berkata, usahawan dan syarikat memerlukan pembiayaan yang bersesuaian pada pelbagai peringkat pembangunan, sama ada bagi pemprosesan hiliran, teknologi pertanian, akuakultur mahupun logistik maritim. 

Hajiji turut menggesa usahawan tempatan memperkukuh pengurusan kewangan, tadbir urus korporat dan perancangan perniagaan bagi meningkatkan kesediaan mereka menarik pelaburan. 

“Mulakan persediaan dari sekarang untuk mendapatkan modal yang ingin anda kumpulkan. Pastikan rekod kewangan diselenggara dengan baik serta perkukuh tadbir urus dan pengurusan perniagaan. 

“Bersedialah untuk menjelaskan bagaimana perniagaan anda menjana pendapatan, bagaimana dana yang diperoleh akan digunakan dan bagaimana risiko akan diuruskan. Pelabur perlu memahami perniagaan anda sebelum mereka dapat memberikan sokongan,” katanya. 

Beliau turut mengajak pelabur, penyedia pembiayaan dan pengantara pasaran modal meneroka peluang pelaburan dalam sektor pertanian, kilang pemprosesan, tapak akuakultur, perkilangan dan perniagaan pelancongan di Sabah. 

“Sabah mempunyai sumber, kedudukan strategik, usahawan dan aspirasi yang besar. Kini, kita perlu memperkukuh hubungan antara perniagaan tempatan dengan modal, keupayaan dan kerjasama strategik yang diperlukan untuk mereka terus berkembang,” katanya. 

LEAVE A RESPONSE