Read Time:1 Minute, 43 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kumpulan muzik popular Indonesia, D’Masiv, bakal menghiburkan peminat di Sabah menerusi konsert Malam Galau No Black Tie di Magellan Sutera Habour Resort, di sini, pada 16 Oktober ini.
Vokalisnya, Rian Ekky Pradipta berkata, konsert itu bakal menampilkan lagu popular kumpulan berkenaan selain dua karya baharu berbahasa Inggeris, On Our Own dan Till We’re Old, yang akan dipersembahkan khas buat peminat di Kota Kinabalu dan Sandakan.

Beliau berkata demikian ketika sesi bertemu peminat dan sidang media di sini, pada Rabu, sambil menyifatkan kunjungan kali ini cukup bermakna kerana kumpulan itu kembali ke Kota Kinabalu selepas kali terakhir mengadakan persembahan di bandar raya berkenaan pada 2019.
Menurutnya, D’Masiv turut teruja untuk menemui peminat di Sandakan buat kali pertama, selain menjanjikan kelainan menerusi susunan muzik baharu bagi beberapa lagu mereka, termasuk Cinta Ini Membunuhku, Rindu Setengah Mati dan Jangan Menyerah.
Rian berkata, kumpulan itu juga sedang melalui fasa baharu dalam perjalanan muzik mereka selepas secara rasmi bergerak secara bebas pada 20 Mei lalu, selepas hampir 20 tahun bersama label rakaman Musica Studios.
Peralihan itu membolehkan D’Masiv menentukan hala tuju muzik sendiri, mengurus penerbitan karya serta memiliki rakaman induk lagu-lagu mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, D’Masiv sedang mempersiapkan album penuh berbahasa Inggeris yang dijangka dilancarkan pada awal 2027.
Tujuh lagu sudah disiapkan, dengan tiga dirakam di Burbank, California, manakala empat lagi dirakam di London, termasuk di Abbey Road Studios, menerusi kerjasama dengan penerbit muzik United Kingdom, Danton Supple.
Album itu antara usaha kumpulan berkenaan untuk mengembangkan pengaruh mereka ke peringkat antarabangsa, termasuk menerusi penyertaan dalam festival muzik antarabangsa.
Sementara itu, penganjur konsert, Datuk Md Afendi Hamdan berkata, pemilihan D’Masiv dibuat berdasarkan minat beliau terhadap muzik kumpulan berkenaan yang disifatkan mempunyai identiti tersendiri.
Menurutnya, konsert itu pada asalnya dirancang untuk Sandakan, namun permintaan peminat mendorong penganjur membawa persembahan berkenaan ke Kota Kinabalu bagi memberi peluang kepada peminat di bandar raya ini menyaksikan persembahan kumpulan itu secara langsung.





