Read Time:1 Minute, 7 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Tahap keselamatan bangunan sekolah di kawasan pedalaman Sabah dipantau secara berkala dengan tindakan susulan dilaksanakan mengikut skala kerosakan yang dikenal pasti.
Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Jordan Jude Ellron, berkata pemeriksaan berkala dilaksanakan oleh jurutera atau penolong jurutera dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Pemeriksaan ini akan menentukan skala bangunan. Jika berada pada skala 2 hingga 5, penyelenggaraan kecil akan dilaksanakan.
“Bagi skala 6, proses ubah suai dan naik taraf (USNT) akan dibuat. Manakala bagi bangunan skala 7, pengesahan oleh JKR dan proses roboh serta bina semula akan dilaksanakan.
“Semua (tindakan) ini bergantung kepada kelulusan peruntukan yang diterima,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan mengenai langkah kementerian memastikan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman sentiasa dalam keadaan selamat, khususnya dari aspek pendawaian elektrik dan struktur bangunan lama.
Berhubung status Sekolah Kebangsaan Pohon Batu dan Sekolah Kebangsaan Nangkawangan yang terletak dalam daerah Nabawan tetapi ditadbir oleh Pejabat Pendidikan Daerah Keningau, Jordan menjelaskan penempatan pentadbiran itu dibuat berdasarkan susunan sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan penyelarasan operasi dan logistik.
Katanya, sekiranya terdapat cadangan untuk memindahkan pentadbiran kedua-dua sekolah tersebut ke Pejabat Pendidikan Daerah Pensiangan, permohonan boleh dikemukakan kepada pihak PPD Pensiangan sebelum dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk tindakan lanjut.






