Read Time:2 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU: Sebahagian daripada isu keperluan rakyat yang dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu harus diselesaikan segera melalui pelaksanaan projek kecil yang berimpak tinggi dan berkos rendah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri semasa sidang DUN baru-baru ini melibatkan isu keperluan rakyat seperti bekalan air, bekalan elektrik, jalan raya, isu banjir dan sistem saliran, pendidikan dan sebagainya.
“Semua isu ini adalah berkaitan dengan keperluan kehidupan rakyat dan sebahagiannya boleh diselesaikan melalui pelaksanaan projek-projek ‘low-hanging fruits’.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi kepentingan pelaksanaan projek-projek ‘Low-hanging fruits’ sebagai pemangkin strategik pembangunan negeri Sabah.
“Walaupun projek-projek mega penting untuk pertumbuhan jangka panjang, projek-projek ‘low-hanging fruits’ ini mampu memberikan impak segera yang dapat dirasai oleh rakyat dan kerajaan dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya.
Oleh itu, beliau mahu segala isu pelaksanaan projek-projek kecil dapat diselesaikan segera agar setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual.
“Rakyat menaruh harapan yang tinggi agar manfaat pembangunan ini dapat dinikmati tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini pada Isnin.
“Saya menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana agar terus memperkukuh komitmen, mempererat kerjasama dan meningkatkan penyelarasan strategik bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, teratur dan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat MTPNg harus dimanfaatkan sebagai medium perbincangan yang konstruktif dan berorientasikan penyelesaian dan tindakan supaya setiap isu pelaksanaan dapat ditangani secara proaktif, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
Menurutnya, ini penting dalam memastikan setiap dasar, program dan projek pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Negeri Sabah.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0, pelaksanaan projek-projek pembangunan perlu terus diperkasakan melalui penyelarasan yang lebih sistematik dan bersepadu antara kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.
“Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana perlu terus memperkukuh kerjasama dan komunikasi antara agensi di samping mengoptimumkan perkongsian maklumat dan amalan terbaik.
“Saya yakin melalui iltizam dan sinergi yang kukuh, kita mampu memastikan setiap projek pembangunan dapat disempurnakan dengan jayanya, sekali gus mempercepatkan kemajuan negeri Sabah serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup seluruh rakyat,” katanya.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri-Menteri Kabinet negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Mesyuarat MTPNg kali ini turut disertai buat kali pertama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri baharu Datuk Zainudin Aman bersama Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah ICU JPM Sabah Datuk Samsul Dollah.






