Read Time:1 Minute, 8 Second
BERNAMA
KOTA KINABALU : Kementerian Komunikasi akan membantu Kementerian Kewangan menyebarluaskan maklumat serta program yang bakal dibentangkan dalam Belanjawan 2027 menerusi program Yakini MADANI di seluruh negara.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata program berkenaan akan melibatkan semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, selain daripada yang kami rancangkan dan telah kami sampaikan daripada pihak industri, sama ada komunikasi, sektor pos dan kurier atau industri kreatif, Kementerian Komunikasi juga akan menjadi titik utama untuk membantu Kementerian Kewangan menyebarluaskan segala maklumat dan program yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral di sini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.
Fahmi berkata pelaksanaan program itu akan dimulakan dengan sesi taklimat Belanjawan kepada komuniti MADANI di seluruh negara pada Ahad malam yang akan disampaikan oleh wakil Kementerian Kewangan.
“Dari situ, kita akan menjelajah bersama-sama Kementerian Kewangan dalam program yang akan dikenali sebagai Yakini MADANI.
“Program jelajah akan pergi ke seluruh pelosok negara dan saya akan minta MCMC, Jabatan Penerangan dan semua agensi serta jabatan di bawah Kementerian Komunikasi turut terlibat menyediakan tempat-tempat untuk mendapatkan maklumat penuh mengenai semua program kerajaan dalam Belanjawan 2027,” katanya.BERNAMA





