Read Time:1 Minute, 17 Second
TAWAU: Dua premis menjual pakaian dan aksesori di Chester, di sini, dikompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.
Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam operasi pemantauan aktiviti perdagangan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan penandaan harga yang ditetapkan.
KPDN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai sebagaimana diwajibkan di bawah undang-undang.
Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna wajib dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat bagi menjamin ketelusan urus niaga, khususnya bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak dan gula,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan meningkat kepada sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.
Menurut kenyataan itu lagi, KPDN Tawau akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika serta mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.
Dalam operasi sama, sebanyak 40 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang diperiksa.






