Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS anjur persidangan teroka inovasi tangani cabaran psikososial

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU : Persidangan Antarabangsa Psikologi, Kaunseling dan Kerja Sosial Ke-6 (ICPCSW 2026) yang dianjurkan oleh Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pengamal dari dalam dan luar negara bagi meneroka inovasi serta penyelesaian dalam menangani cabaran psikososial pada era digital.

Persidangan bertemakan “Psychosocial Innovation in the Digital Era: Advancing Mental Health, Counselling and Social Work Practice” itu memfokuskan kepada penerokaan pendekatan dan amalan inovatif dalam bidang psikologi, kaunseling dan kerja sosial bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi digital.

Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, berkata revolusi digital telah mengubah cara manusia berinteraksi, bekerja, belajar dan mendapatkan sokongan psikososial.

Menurut beliau, meskipun perkembangan teknologi membawa pelbagai manfaat, ia turut mewujudkan cabaran baharu berkaitan kesihatan mental, kesejahteraan psikologi, keselamatan siber, ketagihan digital serta perubahan dalam dinamika sosial masyarakat.

“Dalam konteks ini, peranan ahli psikologi, kaunselor dan pekerja sosial menjadi semakin penting.

“Kita bukan sahaja perlu memahami perubahan tingkah laku manusia dalam era digital, malah perlu membangunkan pendekatan intervensi yang inovatif, berasaskan bukti dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini,” katanya.

Tambah beliau, ICPCSW 2026 berupaya memperkukuh jaringan akademik dan profesional merentas negara.

“Melalui pembentangan hasil penyelidikan, perbincangan ilmiah dan pertukaran idea, kita dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan bagi menangani isu-isu psikososial yang semakin kompleks,” ujarnya.

Kasim berkata UMS sentiasa komited memperkasa penyelidikan, inovasi dan kolaborasi antarabangsa selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“UMS sentiasa menyokong usaha yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental, pembangunan modal insan dan keseimbangan sosial.

“Penyertaan penyelidik dan pengamal dari pelbagai negara dalam persidangan ini adalah satu perkembangan positif yang mampu memperkayakan wacana akademik serta membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan yang lebih luas pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau berharap persidangan tersebut dapat menghasilkan dapatan penyelidikan, cadangan serta inovasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik, malah dapat diterjemahkan kepada dasar, amalan profesional dan intervensi yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Persidangan yang dianjurkan oleh FPKS UMS itu turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik dan institusi kolaboratif dalam memperkukuh pembangunan ilmu serta amalan profesional dalam bidang psikologi, kaunseling dan kerja sosial.

LEAVE A RESPONSE