Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Wanita tunjang kekuatan dan kelangsungan persatuan

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Golongan wanita merupakan tunjang kekuatan sesebuah persatuan menerusi peranan mereka sebagai penggerak utama, penyatu hati dan pencetus idea dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan organisasi.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri berkata, sumbangan wanita dalam persatuan bukan sekadar sebagai ahli, malah turut merangkumi aspek kepimpinan, kebajikan, pengurusan serta usaha memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahli.

Menurutnya, wanita bukan sekadar ahli pelengkap, sebaliknya menjadi nadi dan tulang belakang kepada kekuatan serta kelangsungan sesebuah organisasi.

“Justeru, wanita merupakan penggerak utama, penyatu hati, pencetus idea, pembina jaringan dan sumber inspirasi kepada persatuan.

“Kekuatan wanita dalam persatuan terserlah menerusi tiga aspek utama iaitu ketelitian dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, kebolehan menyatukan ahli serta semangat tidak mengenal penat dalam menyumbang kepada organisasi.

“Wanita juga perlu terus berani melangkah, menyumbang idea dan memainkan peranan aktif dalam kepimpinan tanpa memandang kecil setiap sumbangan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-43 PUSPANITA Cawangan Sabah, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan lelaki supaya sentiasa menghargai dan menyokong peranan wanita serta memberikan ruang kepada golongan berkenaan untuk terus menyerlah dalam pelbagai bidang.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian anugerah dalam 16 kategori yang merangkumi empat teras utama iaitu Sumbangan, Penglibatan, Sahsiah dan Perwatakan serta Prestij.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Ikon Rakan Strategik, Ikon Cawangan Inspirasi, Ikon Khidmat Setia, Ikon Dedikasi, Ikon Bintang Aktif, Ikon Legenda dan Ikon Srikandi Gemilang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta komitmen ahli dan rakan strategik PUSPANITA.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan oleh Rey Guntabid, Eylia Guntabid, Daniesh Suffian dan Ranisha Faizul.

Selain itu, cek cura berjumlah RM40,000 turut disampaikan kepada Jawatankuasa Kecil Kebajikan PUSPANITA Cawangan Sabah bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kebajikan persatuan.

LEAVE A RESPONSE