Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ismail Sabri mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta bernilai RM170 juta, dibenar jamin RM300,000

Read Time:1 Minute, 33 Second

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan sengaja gagal mematuhi notis pengisytiharan harta membabitkan wang tunai dalam pelbagai mata wang serta emas yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM170 juta.

Ismail Sabri, 66, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bera itu didakwa pada 7 Februari 2025 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Harta terkandung dalam kertas pertuduhan tersebut merangkumi wang tunai pelbagai mata wang iaitu RM4,772,150.00, EUR12,164,150.00, AED34,750,000.00, CHF3,000,000.00, USD1,461,400.00, JPY363,000,000.00, AUD352,850.00, SGD132,350.00, GBP50,250.00, dan NZD44,600.00. Selain itu, ia turut melibatkan lima ketul jongkong emas Suisse Fine Gold seberat 5 kilogram, 100 gram jongkong perak Suisse Fine Silver, serta lima gram syiling emas 999 Fine Gold.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Ismail Sabri diwakili barisan peguam bela yang diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad.

Hakim Suzana membenarkan Ismail Sabri diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan bahawa pasport tertuduh tidak diperintah untuk diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan hari ini dijalankan selepas Mahkamah Sesyen menangguhkan pembacaan pertuduhan pada 7 Ogos lalu berikutan Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia).

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar 8.33 pagi diiringi barisan peguam belanya.

LEAVE A RESPONSE