Read Time:1 Minute, 30 Second
NABAWAN: Keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlu dipikul bersama oleh seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan keamanan dan ketenteraman terus terpelihara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kerjasama komuniti amat penting khususnya dalam membantu pihak berkuasa membendung pelbagai ancaman keselamatan termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan jenayah siber.
Menurut beliau, daerah Nabawan dipilih sebagai antara lokasi Program Community Policing kerana kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Indonesia sekali gus memerlukan tahap kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan penduduk setempat.
“Nabawan dipilih sebagai antara lokasi Program Community Policing memandangkan kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Indonesia, sekali gus menjadikannya kawasan yang memerlukan kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membendung jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah, penipuan dalam talian serta pelbagai ancaman keselamatan lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Community Policing yang berlangsung di sini.
Dalam pada itu, Jauteh turut menyentuh mengenai pembangunan pesat yang sedang dinikmati daerah Nabawan terutama dari aspek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan capaian internet yang semakin baik.
Bagaimanapun katanya, kemajuan fizikal itu perlu diseimbangkan dengan tahap kesedaran keselamatan dan kematangan komuniti dalam berdepan cabaran semasa.
“Utamakan keselamatan jalan raya termasuk memakai topi keledar ketika menunggang motosikal serta menggunakan internet dan media sosial secara berhemah bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam jenayah siber,” ujarnya.
Program selama tiga hari bermula 22 Mei itu diisi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan interaktif melibatkan penyertaan agensi kerajaan serta penduduk setempat.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan Masjid Al-Hidayah, Gereja St. Bede Nabawan serta tapak perkuburan Islam dan bukan Islam di Kampung 2 Nabawan.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran rasmi penubuhan Sukarelawan BOMBA Nabawan sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam aspek keselamatan dan kebajikan masyarakat.






