Read Time:2 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido mengakui beberapa kesilapan dilakukan anak buahnya ketika tewas 0-2 kepada Kuching City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata kekalahan Sang Badak lebih disebabkan kehebatan individu penyerang Kuching City FC, Ajdin Mujagic yang berjaya meledakkan dua gol menerusi percubaan jarak jauh.
Menurutnya, Sabah kehilangan bola dalam beberapa situasi, namun kesilapan berkenaan berlaku jauh dari kawasan kotak penalti dan sukar untuk menjangka ia akan membawa kepada dua jaringan menerusi rembatan jarak jauh.
“Jika anda mempunyai seorang pemain yang menjaringkan dua gol dari jarak 35 meter, saya tidak tahu gol kedua itu dari sejauh mana, tapi selepas dua langkah itu apa yang kita boleh katakan ialah ia adalah bakat tulen pemain terbabit.
“Sudah tentu kita melakukan kesilapan, kita kehilangan bola di situ, tetapi ia tidak berlaku berdekatan dengan kotak penalti. Tapi hari ini mereka mengalahkan kita kerana bakat tulen daripada seorang pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Likas, malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Mujagic membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi tendangan kencang dari luar kotak penalti sebelum sekali lagi menghukum Sabah dengan percubaan jarak jauh pada minit ke-21.
Garrido berkata dua jaringan berkenaan mengubah situasi perlawanan dan menjadikan tugas Sabah lebih sukar untuk mengawal permainan seperti yang dirancang.
“Situasi jaringan menjadi jauh lebih sukar dan berbeza selepas dua aksi ini dan kita tidak selalunya boleh mengawal perkara itu.
“Ini adalah pasukan yang baik dengan pemain-pemain yang baik dan pemain yang baik melakukan perkara sebegini,” katanya.
Walaupun ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama, Garrido memuji semangat anak buahnya yang terus berusaha untuk bangkit pada babak kedua.
Katanya, Sabah cuba meningkatkan tekanan menerusi asakan dan serangan balas selepas rehat bagi memastikan Kuching City tidak selesa dengan kelebihan yang dimiliki.
“Kita cuba bangkit pada babak kedua dengan mengambil risiko untuk menekan mereka melalui asakan dan serangan balas yang dirancang ketika waktu rehat separuh masa pertama.
“Kita mahu memastikan mereka tidak berasa selesa dengan kedudukan mereka dan pada masa sama cuba mendapatkan jaringan untuk mengejar kedudukan itu,” katanya.
Bagaimanapun, usaha Sabah untuk merapatkan jurang tidak berhasil meskipun beberapa peluang baik berjaya dicipta pada separuh masa kedua.
Garrido berkata anak buahnya sebenarnya mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol pada babak kedua berbanding separuh masa pertama, namun penyudah yang kurang berkesan menyebabkan mereka gagal mengubah keputusan perlawanan.
“Jika anda melihat peluang-peluang itu, pemain berhak menjaringkan banyak gol daripada peluang pada separuh masa kedua berbanding separuh masa pertama.
“Jadi secara keseluruhan, saya rasa kita mengekalkan semangat, gaya dan idea pasukan. Dalam permainan sebegini, kadangkala kita akan kalah, tetapi saya berpuas hati dengan pemain-pemain saya,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Sabah gagal mengutip mata di laman sendiri selepas Kuching City membawa pulang tiga mata hasil dua jaringan awal Mujagic.
Sabah kini perlu mengalihkan fokus kepada aksi Piala FA menentang Selangor FC dalam perlawanan kedua Pusingan 16 pada Rabu depan. – SABAH MEDIA






