DUN Sabah: Isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar sedang ditangani, 10 langkah interim dilaksana – Ewon
Read Time:4 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang melaksanakan 10 pelan tindakan interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP), termasuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Task Force yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick bagi menyelaras pelaksanaannya.
Ewon berkata, kerajaan memandang serius isu kesesakan di SBCP kerana ia memberi kesan kepada kelancaran rantaian logistik, kos operasi serta harga barangan di Sabah.
Menurutnya, Jawatankuasa Task Force itu bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan 10 pelan tindakan interim yang telah diluluskan Jemaah Menteri secara bersepadu, di samping memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan secara lebih berkesan bersama agensi berkaitan dan pemain industri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) dan Datuk Donald Peter Mojuntin (Moyog) mengenai prestasi operasi DP World Sabah serta langkah kerajaan negeri menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, 10 pelan tindakan interim yang sedang dilaksanakan merangkumi penambahan kawasan penyimpanan kontena (container yard), pelaksanaan kadar tarif baharu, penguatkuasaan terhadap kontena yang melebihi tempoh simpanan, pengurangan tempoh penyimpanan kontena secara percuma pada musim puncak, penyediaan tapak parkir treler di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS), operasi 24 jam agensi kerajaan di SBCP, penaiktarafan peralatan pelabuhan, pemindahan operasi Roll-on/Roll-off (RORO) ke Pelabuhan Kota Kinabalu serta pelaksanaan Berthing Window Programme (BWP).
“Kementerian sentiasa komited memantau keberkesanan pelan interim ini dari semasa ke semasa dan akan terus menyediakan penyelesaian konkrit bagi mengatasi kesesakan di SBCP.
“Kelancaran aliran logistik ini diharap dapat meminimumkan kos kendalian secara menyeluruh dan mengelakkan sebarang kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat Sabah,” katanya.
Mengenai prestasi DP World Sabah, Ewon berkata usaha sama strategik antara Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dan syarikat itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta memposisikan SBCP sebagai hab transhipment dan hab perdagangan utama di rantau BIMP-EAGA serta Intra-ASEAN.
Beliau berkata, projek pembesaran SBCP yang dijadual siap pada Februari 2025 bagaimanapun mengalami kelewatan sehingga diberikan lima kali pelanjutan masa (Extension of Time – EOT).
Menurutnya, DP World Sabah mengambil alih pengurusan pelabuhan pada September 2024 ketika projek pembesaran masih belum siap, justeru adalah terlalu awal untuk menjalankan kajian prestasi atau audit rasmi bagi menilai pencapaian sasaran menjadikan SBCP sebagai hab transhipment.
Katanya, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) sebagai badan kawal selia pelabuhan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian berterusan terhadap prestasi operator konsesi pelabuhan di seluruh Sabah, termasuk DP World Sabah.
Indikator utama yang dipantau ialah purata masa menunggu kapal berlabuh (Average Berth Waiting Time – ABWT), tempoh penyimpanan kontena (container dwell time) dan kadar penggunaan kawasan penyimpanan (yard utilisation).
Ewon berkata, purata masa menunggu kapal menunjukkan peningkatan ketara selepas pengambilalihan oleh DP World Sabah hasil peningkatan produktiviti pelabuhan, penambahbaikan perancangan kapal berlabuh serta pengoperasian empat quay crane secara serentak buat pertama kali.
“Sebelum pengambilalihan oleh DP World Sabah, purata masa menunggu kapal ialah 66 jam bagi tempoh Disember 2023 hingga September 2024. Selepas pengambilalihan, purata itu berjaya dikurangkan kepada hanya 20.24 jam bagi tempoh Oktober 2024 hingga Julai 2025,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan semula tempoh menunggu kapal kebelakangan ini berpunca daripada kadar penggunaan kawasan penyimpanan kontena yang mencecah sehingga 101 peratus berikutan peningkatan jumlah kendalian kontena, pengurangan kira-kira 10 peratus ruang simpanan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran pelabuhan serta gangguan operasi akibat kerja menaik taraf pintu gerbang terminal.
Beliau berkata, sejak mengambil alih operasi SBCP, DP World Sabah telah meningkatkan kapasiti kawasan penyimpanan kontena sebanyak 41 peratus daripada 6,800 TEUs kepada 9,574 TEUs melalui penyusunan semula kawasan dan kaedah penimbunan kontena yang lebih tinggi.
Namun, katanya, pertumbuhan ekonomi Sabah dan peningkatan aktiviti perdagangan menyebabkan kapasiti tambahan itu masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa, dengan kadar penggunaan kawasan penyimpanan secara purata melebihi 70 peratus dan boleh mencecah 100 peratus pada musim puncak.
Sehubungan itu, kementerian turut melaksanakan beberapa langkah tambahan termasuk memanfaatkan kawasan RORO sebagai kawasan simpanan kontena kosong, menyiapkan sebahagian kawasan container yard baharu seluas empat ekar yang dijangka siap pada Disember 2026 serta mengambil alih tanah seluas 14 ekar bersebelahan SBCP untuk dijadikan kawasan simpanan kontena sementara.
Menyentuh tempoh penyimpanan kontena, Ewon berkata purata container dwell time meningkat daripada 4.0 hari sebelum pengambilalihan DP World Sabah kepada 5.1 hari sehingga Jun 2026.
Katanya, peningkatan itu dipengaruhi pertambahan jumlah pengendalian kontena, penggunaan maksimum kawasan penyimpanan, kesesakan di pintu masuk terminal serta faktor pelepasan kontena oleh pengimport, ejen penghantaran dan agensi berkaitan yang berada di luar kawalan operator pelabuhan.
Menurutnya, DP World Sabah kini melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk mengoptimumkan perancangan pelabuhan, memperkukuh koordinasi bersama pelanggan dan agensi berkaitan serta meningkatkan kecekapan pengendalian kontena bagi mengurangkan tempoh penyimpanan secara berperingkat.
Beliau berkata, secara keseluruhannya DP World Sabah menunjukkan prestasi yang baik walaupun berdepan kekangan kapasiti kawasan penyimpanan kontena yang terhad.
“Prestasi syarikat bukan berpunca daripada ketidakcekapan pengurusan pelabuhan, sebaliknya lebih dipengaruhi faktor kapasiti pelabuhan yang kini berada pada tahap kritikal.
“Kerajaan negeri menyedari SBCP sedang berdepan cabaran kesesakan sementara akibat lonjakan jumlah kendalian kontena dan pelaksanaan projek pembesaran infrastruktur yang masih berjalan. Namun, pelbagai langkah mitigasi sedang giat dilaksanakan termasuk 10 pelan tindakan interim bagi memastikan kelancaran rantaian logistik dan ekonomi Sabah terus terpelihara,” katanya.






