Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Explore Sabah berpotensi perluas pengenalan budaya, produk tempatan

Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Program Explore Sabah berpotensi menjadi platform untuk memperluas pengenalan budaya, gastronomi etnik, kraftangan dan produk tempatan Sabah kepada pelawat dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif itu bukan sekadar mempromosikan destinasi pelancongan, tetapi turut menjadi usaha strategik mengangkat keunikan Sabah, memperkenalkan identiti masyarakatnya serta menghubungkan khazanah negeri dengan peluang ekonomi lebih luas.

Beliau berkata Explore Sabah menggabungkan kekayaan budaya, pelancongan, teknologi digital dan keusahawanan tempatan, sekali gus membuka ruang kepada komuniti untuk memanfaatkan potensi khazanah negeri.

“Saya berharap inisiatif ini akan berkembang secara berterusan dengan melibatkan lebih banyak komuniti dan daerah supaya keunikan Sabah dapat diketengahkan secara menyeluruh,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, pada majlis pelancaran Explore Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji turut mengingatkan cabaran masa kini bukan sekadar memelihara kekayaan khazanah Sabah, tetapi memastikan ia dimanfaatkan sebagai sumber peluang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan penjanaan pendapatan rakyat.

Katanya, hubungan antara khazanah budaya dengan inovasi, pelancongan dengan ekonomi komuniti serta produk tempatan dengan pasaran lebih luas perlu diperkukuh.

Beliau berkata kerajaan mahu sektor pelancongan bukan sahaja meningkatkan jumlah kunjungan, tetapi turut memastikan manfaat ekonominya dinikmati lebih ramai rakyat, khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan dan komuniti luar bandar.

Sabah, katanya, memiliki pelbagai tarikan pelancongan merangkumi keindahan alam semula jadi, pulau, kekayaan budaya, makanan tradisional, kraftangan dan pengalaman komuniti yang mampu menawarkan pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung.

“Pelawat yang datang ke Sabah bukan sekadar menikmati keindahan alamnya, tetapi turut mengenali makanan tradisional, membeli kraftangan tempatan, mengunjungi tarikan budaya dan menyokong perniagaan komuniti.

“Dengan pendekatan ini, pengalaman pelancongan menjadi lebih bermakna, sementara perbelanjaan pelawat dapat membuka peluang pendapatan kepada lebih ramai rakyat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata transformasi digital penting untuk meningkatkan daya saing dan membuka akses kepada pasaran lebih luas, namun peluang berkenaan perlu turut dinikmati usahawan kecil, pengusaha kraftangan, penyedia makanan, pengusaha penginapan desa serta komuniti luar bandar, bukan hanya syarikat besar.

Hajiji turut menyambut baik inisiatif Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) bersama rakan teknologinya, MSH Mega Tech Sdn Bhd, memperkenalkan MAGEBS (SABAH) Smart Card sebagai pemudah cara digital bagi menyokong pelaksanaan Explore Sabah.

Beliau berkata Explore Sabah berperanan memperkenalkan keunikan dan pengalaman meneroka negeri ini, manakala Smart Card berpotensi menghubungkan pelawat dengan produk, perkhidmatan dan perniagaan tempatan.

“Saya berharap platform ini dapat membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan, memperluas penyertaan usahawan dan membuka ruang kepada penerokaan pasaran baharu,” katanya.

Beliau turut menggesa persatuan etnik terus memelihara adat, bahasa, seni dan khazanah masing-masing agar diwarisi generasi akan datang, selain menyeru usahawan meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan serta berani meneroka pasaran baharu.

Golongan belia pula digalakkan memanfaatkan teknologi untuk membina kemahiran, mencetuskan idea dan mewujudkan peluang ekonomi.

LEAVE A RESPONSE