LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengambil tindakan terhadap sebuah restoran di sekitar bandar Labuan selepas dikesan mengenakan harga makanan berbeza daripada yang dipaparkan dalam buku menu.
Tindakan itu susulan pemeriksaan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Isnin lalu, berikutan aduan pengguna berhubung percanggahan harga makanan di restoran berkenaan.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati menu Ngiu Chap Regular dipaparkan pada harga RM15, namun pelanggan dikenakan bayaran RM18 ketika membuat pembayaran di kaunter.
Beliau berkata, pemilik perniagaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Perenggan 12(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] kerana memberikan gambaran yang mengelirukan berhubung harga atau perkhidmatan.
Katanya, buku menu dan resit pembayaran berkaitan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.
Junaidah berkata, KPDN memandang serius perkara itu kerana harga yang dipaparkan menjadi asas pertimbangan pengguna sebelum membuat sesuatu pembelian.
Sehubungan itu, semua peniaga diingatkan supaya memastikan harga barang dan perkhidmatan yang dipaparkan adalah tepat serta selaras dengan jumlah yang dikenakan ketika pembayaran.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa menyemak harga sebelum membuat pembelian dan memeriksa resit selepas pembayaran bagi memastikan tiada percanggahan dikenakan.





