KOTA KINABALU: Mantan Ahli Parlimen Tenom merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tenom, Datuk Raime Unggi mengemukakan idea ‘Muafakat Sabah’ sebagai pendekatan kerjasama politik antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, kerjasama itu bukan sekadar bertujuan menghadapi pilihan raya, sebaliknya bagi memperkukuh kestabilan politik, memastikan kelancaran pentadbiran serta menjamin kesinambungan pembangunan negeri.
“Sudah tiba masanya kita melihat politik Sabah dalam kerangka lebih besar. Saya membawa idea Muafakat Sabah kerana percaya BN dan GRS mempunyai asas kerjasama yang boleh diperkukuh demi masa depan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Raime yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, kejayaan kerjasama jentera BN dan GRS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag membuktikan potensi persefahaman antara kedua-dua gabungan itu.
Menurutnya, Muafakat Sabah juga mampu memperkukuh hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya dalam mempercepat pembangunan, menangani isu kemudahan asas serta memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Muafakat Sabah bukan sekadar untuk menghadapi PRU16. Matlamat lebih besar ialah memastikan Sabah mempunyai kestabilan politik, pentadbiran kukuh dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kemenangan pilihan raya hanya permulaan. Kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat sebenar Muafakat Sabah,” tegasnya.






