Read Time:1 Minute, 34 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mencuri bekalan elektrik milik Sabah Electricity (SE).
Robin Nuning, 43, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Hurman Hussain pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, pemegang dokumen IMM13 itu secara curang mengambil bekalan elektrik milik SE menggunakan kabel penyambung jenis ‘6 Gang Power Extension Socket Plug’ sepanjang kira-kira 14 meter dari premis jiran bersebelahan terus ke premisnya tanpa melalui meter berdaftar SE.
Perbuatan itu menyebabkan SE terkurang caj dan mengalami kerugian.
Robin melakukan kesalahan itu pada jam 10.05 pagi, 6 Ogos lalu, di sebuah rumah setinggan di Kampung Sri Kenangan 2, Jalan Sepanggar, dekat sini.
Robin didakwa mengikut Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 61(3)(i) enakmen sama yang memperuntukkan denda antara RM1,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Robin membayar denda berkenaan.
Mahkamah diberitahu bahawa pada hari kejadian, pasukan penguat kuasa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bersama juruteknik SE menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras sambungan elektrik haram di kawasan rumah setinggan di Kampung Sri Kenangan 2, Jalan Sepanggar.
Pemeriksaan fizikal dan ujian teknikal oleh juruteknik SE menemui sambungan elektrik haram yang disalurkan terus daripada talian bekalan voltan rendah SE melalui soket di premis bersebelahan ke rumah Robin tanpa melalui mana-mana meter berdaftar.
Bekalan elektrik itu digunakan untuk menghidupkan peralatan rumah termasuk peti sejuk, mesin basuh, televisyen, lampu dan kipas.
Pasukan penguat kuasa turut merampas kabel sepanjang 14 meter yang disambungkan kepada ‘6 Gang Power Extension Socket Plug’ dan digunakan sebagai alat untuk menyalurkan bekalan elektrik secara haram ke rumah Robin.
Siasatan lanjut mengesahkan bahawa Robin mengarahkan seorang individu memasang sambungan elektrik haram itu dan membayarnya RM50 sebulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Andryero Thomas, manakala Robin tidak diwakili peguam.





