Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Masyarakat Putatan digesa manfaatkan inisiatif saringan kesihatan

Read Time:1 Minute, 40 Second

PUTATAN: Masyarakat di kawasan Parlimen Putatan digesa mengambil peluang menyertai program kesedaran serta saringan kesihatan yang dianjurkan pelbagai pihak sebagai langkah awal mencegah risiko penyakit, termasuk kanser.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, program berasaskan komuniti itu bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak berwajib, malah mampu meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri.

Menurut beliau, penglibatan aktif masyarakat dalam program kesihatan juga dapat membantu mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan, khususnya bagi urusan saringan serta pemeriksaan kesihatan.

“Masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Putatan perlu cakna sekiranya terdapat program berbentuk kesedaran kesihatan dan mengambil peluang menyertai taklimat atau saringan yang disediakan menerusi aktiviti berkenaan.

“Dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing, program seperti ini memberi impak besar selain meningkatkan kesedaran terhadap risiko penyakit yang sedia ada.

“Selain menjimatkan masa untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan, pendekatan sebegini juga lebih efisien serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jejak Kanser anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.173 Putatan bersama Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah, Putatan, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan, Mohd Sufian Matin serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, pihaknya komited meneruskan pelaksanaan program dan kempen kesedaran kesihatan di Putatan bagi membantu mengurangkan risiko penyakit kanser dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, program saringan dan jaringan kesihatan seumpama itu merupakan langkah awal dalam membudayakan amalan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Program saringan seperti ini adalah satu langkah awal dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan serta mencegah komplikasi akibat penyakit kanser.

“Pada masa sama, ia merupakan usaha positif ke arah memastikan rakyat Putatan kekal lebih sihat dan cergas serta dapat mengurangkan risiko penyakit dari semasa ke semasa,” katanya.

LEAVE A RESPONSE