SIPITANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengiran Omar 2 kini menggunakan nama baharu iaitu SMK Sipitang selepas pengisytiharan rasmi yang berlangsung pada Majlis Citra Gemilang Apresiasi 2026, hari ini.
Pengisytiharan itu disempurnakan Pengerusi Sabah Development Berhad, Datuk Dr Yusof Yacob.
Majlis berkenaan turut diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar Tingkatan Lima, selain menggabungkan Jamuan Akhir Tahun dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 sekolah berkenaan.

Yusof dalam ucapannya menyambut baik perubahan nama itu yang dilihat sebagai satu langkah memperkukuh identiti sekolah berkenaan selaras dengan lokasinya di daerah Sipitang.
Beliau berkata, penubuhan sekolah itu sejak 20 tahun lalu mencerminkan usaha kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap SMK Sipitang terus meningkatkan pencapaian dalam bidang pendidikan serta melahirkan pelajar berkualiti yang mampu membawa nama daerah itu ke peringkat lebih tinggi.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang, Zulkifle Kassim; Pengetua SMK Sipitang, Ramlah Ag Ali; dan Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Al Khalil Abdul Jari.





