Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Peruncit dikompaun kerana gagal pamer tanda harga minuman

Read Time:1 Minute, 19 Second

LABUAN: Seorang peruncit dikenakan tindakan kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi produk minuman dalam bekas yang ditawarkan untuk jualan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati produk minuman dalam bekas daripada pelbagai jenis dan jenama yang dipamerkan di premis berkenaan tidak mempunyai tanda harga jualan tunai sebagaimana yang diwajibkan.

Menurutnya, kegagalan berkenaan merupakan ketidakpatuhan terhadap Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

“Susulan penemuan itu, tindakan kompaun telah dikenakan terhadap peniaga berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Junaidah berkata, setiap peniaga bertanggungjawab memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat bagi barangan yang ditawarkan untuk jualan.

Menurutnya, penandaan harga penting bagi membolehkan pengguna mengetahui harga sesuatu barangan sebelum membuat pembelian, sekali gus mengelakkan kekeliruan serta pertikaian ketika urus niaga.

Tambahnya, KPDN turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi keperluan penandaan harga merupakan suatu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Perenggan 5 perintah berkenaan, seseorang yang bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM50,000, manakala pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidah berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga yang gagal mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan.

Katanya, orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan salah laku peniaga melalui saluran rasmi yang disediakan bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil.

LEAVE A RESPONSE